JUMLAH kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini sudah mencecah 8.38 juta orang sehingga awal pagi ini.

Ini selepas peningkatan jangkitan terbaharu berjumlah lebih 138,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Menurut data Worldometers, Amerika Syarikat (AS) terus mendahului kes jangkitan Covid-19 dengan 2.23 juta kes.

Ia juga satu-satunya negara yang mempunyai angka positif melebihi dua juta, termasuk lebih 24,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Brazil kini menjadi negara kedua tertinggi dengan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak lebih 960,000 kes, manakala Rusia ketiga dengan lebih 553,000 kes.
Dalam tempoh 24 jam, Brazil menyaksikan pertambahan lebih 31,000 kes jangkitan.
India pula berada di tangga keempat dengan lebih 367,000 kes, termasuk lebih 13,000 kes terbaharu dalam 24 jam.

United Kingdom pula mencatatkan hampir 300,000 kes berbanding Sepanyol 291, 763 kes. Peru mempunyai lebih 240,000 kes manakala Itali mempunyai lebih 237,000 kes jangkitan.

Terdapat lapan negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 100,000.
Negara berkenaan ialah Jerman, Iran, Turki, Perancis, Chile, Mexico, Pakistan, dan Saudi Arabia.