BINTANGOR: Seorang lelaki berhadapan hukuman penjara seumur hidup apabila diberkas bersama dadah disyaki jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sekolah di sini, pada jam 1.05 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi berkata, dalam serbuan tersebut, polis merampas sejumlah dadah disyaki Methamphetamin seberat 30.77 gram di dalam sebuah beg dipercayai milik lelaki berusia 47 tahun itu.

Katanya, polis turut menemui 19 biji pil disyaki Nimetazepam (Erimin 5) di dalam beg yang sama selain merampas wang tunai berjumlah RM3,969. “Kejayaan tangkapan terhadap lelaki yang dipercayai pengedar dadah ini susulan maklumat daripada orang awam.

“Suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau kes dadah. Ujian air kencing suspek juga mengandungi dadah Methamphetamin,” katanya kepada media.

Beliau berkata, saspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

“Suspek akan direman untuk membolehkan siasatan lanjut dibuat dan merungkai aktiviti pengedaran dan rakan sepenjenayah pengedar di daerah ini,” katanya.