KUCHING: Seorang ahli politik yang dipilih melalui pilihan raya oleh pengundi dan rakyat, terhutang integriti dan penghormatan kepada rakyat yang telah mengundi mereka.

Demikian pandangan Ketua Wanita PDP Datuk Chiew Yen Chew tentang perkembangan politik semasa di negara ini.

Katanya, ketika seorang wakil rakyat melintasi  landasan mengubah kesetiaannya tanpa tujuan yang baik, ia biasanya dianggap sebagai seorang yang tiada prinsip.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa ahli politik GPS ialah generasi yang berbeza daripada yang lain kerana mereka tidak boleh dibeli.

Selepas tumbangnya PH Februari lalu, GPS yang mempunyai 18 ahli parlimen telah menyokong kepemimpinan  Tan Sri Mahyuddin Yassin sehingga memungkinkan beliau menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PN terdiri daripada  UMNO, PAS dan sebahagian Bersatu, dengan sokongan GPS.

Namun, majoriti PN adalah tipis di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Abdul Karim bahawa dengan kepercayaan dan integriti ahli politik GPS telah berdiri teguh dalam tradisi politik semasa,” kata Chew.

Beliau berkata, bahawa ahli politik GPS adalah berintegriti dan tidak akan dilihat melintasi landasan serta melompat-lompat yang jelas bertentangan dengan budaya dan prinsipnya.