NAHAS jalan raya di negara kita akibat pemanduan mabuk menunjukkan trend yang membimbangkan.

Bulan lalu sahaja ia membabitkan 22 kes dengan sembilan kematian. Ia agak menggerunkan, kerana ia berlaku ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jika dalam situasi biasa, mungkin lebih banyak nyawa yang diragut. Lebih menyedihkan, ia menjadi punca kematian mereka yang tidak bersalah. Pemandu mabuk wajar diharamkan berada di belakang stereng kereta.

Oleh itu, sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengesan pemandu mabuk amatlah dialu-alukan. Tangkapan terhadap golongan ini hendaklah disusuli hukuman berat.

Jika tidak, banyak lagi pengguna jalan raya yang tidak bersalah akan menjadi mangsa selepas ini. Kemalangan maut bukanlah isu baharu, namun apa yang sering berlaku di negara kita, amat membimbangkan.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, purata kes maut jalan raya di Malaysia ialah sekitar 7,000 hingga 8,000 orang setahun dan dianggarkan 20 orang maut setiap hari, manakala lebih 25,000 orang cedera setiap tahun.

Kadar kematian jalan raya di Malaysia kini menduduki tempat ketiga tertinggi di dunia, mengatasi dua negara gergasi, India dan China. Malah Malaysia merekodkan kadar kematian yang tinggi iaitu 23 orang setiap 100,000 penduduk, berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia 15 kes dan Filipina 11 kes.

Pemandu mabuk antara penyumbang kes kematian, selain pemanduan tidak berhemah.

Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang seperti hukuman berat amatlah penting kepada pesalah sebagai antara langkah segera untuk menanganinya. Dipenjara lebih lama, lesen digantung serta denda yang lebih tinggi, bukan sahaja akan memberi keinsafan kepada pesalah, malah akan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Bagi pemandu mabuk pula, sewajarnya hukuman yang lebih berat lagi, kerana ia boleh dianggap sebagai satu jenayah atau kesalahan serius yang turut membabitkan nyawa orang lain.

Sementara itu, kesedaran tinggi dan pendidikan sivik, terutama untuk generasi muda merupakan langkah jangka panjang yang perlu diberi perhatian. Ia akan mendidik mereka untuk menjadi sebuah masyarakat yang berhemah suatu hari nanti.

Ia perlu dilaksanakan secara konsisten dan sebagai salah salah satu pembelajaran penting di sekolah. Ia perlu bermula dari rumah, kemudiannya ke dalam bilik darjah, sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Di sinilah peranan ibu bapa, abang, kakak serta guru. Asalkan jangan sampai “seperti ibu ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan dengan betul, sedangkan dia sendiri berjalan secara mengiring”.

Mereka hendaklah menunjukkan contoh yang baik dan betul kepada golongan muda ini. Ini kerana kita mahu melahirkan generasi baharu yang tahu akan tanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Yang pasti, hukuman berat, kesedaran serta pendidikan sivik amatlah penting, sebagai langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani masalah tersebut.

Di samping itu, kita juga perlu mencontohi negara-negara yang berjaya mengurus kemalangan maut di jalan raya, selain menjadikan negara terburuk dalam masalah ini sebagai iktibar dan pengajaran.

Oleh itu, kajian dan perancangan secara berterusan perlu dilakukan, untuk mengenal pasti punca kemalangan dan mencari resolusi terbaik sebagai ‘vaksin’ untuk mengatasinya.