Dr Jeniri Amir

PADA 10 Julai depan, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal meraikan ulang tahun ke-95.  Pada usia 94 tahun, ahli parlimen Langkawi itu kelihatan lebih muda daripada usianya. Pada hari cuti umum Isnin lalu beliau berbasikal di Putrajaya, satu amalan yang biasa dilakukannya.

Bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu mahu kembali menjadi perdana menteri. Nafsu politiknya tidak pernah susut. Malah, keghairahannya untuk kembali berkuasa kian membara.

Anda tentu tidak lupa sebelum ini, Mahathir pernah berjanji untuk berada di kerusi itu bagi tempoh sementara sebelum menyerahkannya kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anda tahu apa yang berlaku: Mahathir keberatan berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar. Mahathirlah sebenarnya yang juga membawa Anwar ke dalam UMNO ketika beliau menjadi presiden parti tulang belakang BN itu.

Kali ini difahamkan Mahathir mahu menjadi perdana menteri untuk enam bulan sahaja ketika  Anwar ialah  ketua pembangkang dan menjadi pilihan PH menjadi perdana menteri. Sedangkan Mahathir hanya ahli parlimen biasa tanpa sebarang jawatan dalam parti.

Mahathir  yang pernah memerintah 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari lalu, kelihatannya mahu meletakkan namanya dalam rekod dunia sebagai tokoh politik yang menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali.

Kini, PH giat berbincang  mahu menentukan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa.

Seyogia diingat, pada 1998, Mahathir pernah memecat Anwar sebagai  Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Selepas dipecat polis yang memakai topeng telah menangkap dan menggari Anwar dan membawanya ke ibu pejabat polis. 

Anwar didakwa pada 29 September 1998, sembilan hari selepas ditangkap. Beliau muncul di khalayak ramai dengan mata lebam. Ketua Polis Negara waktu itu didapati bersalah kerana bertanggungjawab mencederakan Anwar.

Bagi yang mengikuti perkembangan politik negara terutamanya politik Umno, pasti tahu gelora politik yang berlaku ketika itu. Segalanya sudah menjadi sejarah.

Kata Mahathir dalam memoir A Doctor in the House yang diterbitkan pada 2011: “Anwar sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini. Jika beliau bukan Perdana Menteri maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri. Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya. Saya melakukan apa yang saya rasakan terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya.”

Ekoran pemecatan yang dramatik itu, mereka bermusuhan selama 20 tahun.

Baru-baru ini, Mahathir mengumumkan kepada dunia bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Anwar, namun tidak tahu apakah pemimpin berkenaan juga merasakan perkara yang sama.

“Setahu saya, saya tidak mempunyai masalah dengan Anwar,” kata Mahathir kepada media Mei lalu.

“Mungkin dia mempunyai masalah dengan saya, yang saya tidak tahu, anda harus bertanya kepadanya,” tambahnya.

PH, Mahathir dan Warisan kini berusaha mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).  Namun  siapakah yang menjadi calon perdana menteri?  Isu ini belum dapat diselesaikan dengan muktamad oleh PH. Rakyat  sebenarnya sudah muak dengan gelagat Mahathir.

Ketika ditanya media adakah beliau akan menjadi calon perdana menteri sekali lagi, Mahathir berkata beliau tidak menawarkan diri bagi jawatan itu. Telitikan jawapan Mahathir sebaik-baiknya.

“Saya tidak menawarkan diri, tetapi saya melihat perkara-perkara ini sebagai tugas. Saya tidak berminat dengan kepuasan sendiri, tetapi jika saya dapat memberi perkhidmatan dan orang berpendapat saya boleh memberi perkhidmatan, saya ada.

“Tetapi tidak lama. Saya sudah berusia 94 tahun, berapa bulan lagi?” katanya.

Maksudnya, Mahathir masih lagi berminat untuk duduk di kerusi empuk itu.

Mahathir berkata beliau tidak ada masalah dengan Anwar sedangkan seluruh dunia tahu, lebih-elbih lagi penyokong Anwar tahu bahawa beliau memang punya masalah dengan Anwar. Kelihatannya, pada usia 94 tahun Mahathir mudah lupa atau sengaja lupa apa-apa yang beliau ucapkan mengenai Anwar Februari lalu.  Mahathir mendakwa pegangan politik liberal yang dipegang  Anwar menjadi punca orang Melayu menolak ahli parlimen Langkawi itu.

Pada awal Mac lalu, Mahathir berkata,  Anwar  tidak dapat menjadi Perdana Menteri kerana tidak ramai yang menyokongnya. 

“Anwar ni memang dia gila-gila nak jadi Perdana Menteri. Dia tak boleh jadi (Perdana Menteri). Entah macam mana, kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya,” beliau dipetik berkata.

Mahathir tetap menganggap dirinya lebih popular dan disayangi ramai. Mahathir kini berada dalam dunia fantasi bikinannya. 

Ini penyakit kebanyakan pemimpin politik dunia yang sudah terlalu lama berkuasa. Mahathir fikir hanya dia yang terbaik, dan semua perdana menteri lain yang menggantikan beliau, tidak sebaik beliau. 

Ingat, Mahathir juga punya banyak kelemahan dan banyak melakukan kesilapan. Ini diakuinya dalam memoir beliau. Saya cadangkan anda membaca dan menelaah memoir beliau setebal hampir 1,000 halaman itu.

Pemimpin dalam kategori ini berasa bahawa dirinya sahaja layak menjadi pemimpin, dan rakyat masih menyukainya. Orang lain tidak dapat mengubati penyakit berkenaan, lebih-lebih lagi apabila para penyokongnya berkata bahawa dia masih mampu dan wajar memimpin. 

Sebahagian pemimpin PKR mengkritik kenyataan Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik  kelmarin yang menyatakan usaha pembangkang bagi mengambil semula kerajaan persekutuan tidak boleh dibuat dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri ialah hak mutlak Anwar.

Bekas Menteri Pendidikan itu  dalam satu kenyataan berkata: “Rundingan untuk ambil semula Kerajaan daripada PN dan memilih Perdana Menteri ke-9 haruslah tidak dengan keyakinan bahawa PM ke-9 adalah hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor. Hakikatnya jelas, tanpa Tun Dr Mahathir, peluang untuk mengambil semula Kerajaan pun sangatlah tipis bahkan mustahil.”

Katanya, kedudukan terkini iaitu 107 bagi pihak PH+ seperti yang telah diuar-uarkan boleh dianggap sebagai ukuran galah asal yang tak cukup sejengkal. Galah Anwar Ibrahim hanyalah 91. 

“Tetapi faktor galah sejengkal Tun Dr Mahathir telah memanjangkannya sedikit kepada 107 buat masa ini. Tinggal 5 lagi untuk mencapai buah-buah ranum di puncak,’ katanya lagi.

“Walaupun kedua-dua tokoh iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir telah kehilangan pengaruh yang agak signifikan melalui penghianatan orang nombor dua dalam parti masing-masing, kita tetap juga perlu bertanya soalan yang realistik ini: Siapakah yang masih berpengaruh kuat untuk berunding bagi mendapatkan sekurang-kurangnya sokongan lima lagi kerusi yang berbaki? ,” kata beliau.

Bagi pemerhati,  itu pandangan dari perspektif Dr Maszlee. Beliau percaya bahawa Mahathir masih mempunyai pengaruh yang kuat. Implikasinya, berbanding Mahathir, Anwar kurang berpengaruh.

Namun, bagi penyokong Anwar, jawatan itu bukan hak mutlak ahli parlimen Langkawi itu.

Sebenarnya, kalau PH ghairah sangat hendak berkuasa kembali, mereka perlu tangani isu berkenaan secara muktamad. Jika tidak, rakyat boleh  menuduh mereka hanya gila kuasa.

Betapa tidak,  di sebalik segala krisis dan kesangsian di kedua-dua pihak, pada 10 Mei lalu, Mahathir  dan Anwar  memberi bayangan akan bekerjasama sekali lagi dalam arena politik negara. Sebab, mereka mahu dengan apa-apa cara untuk  kembali berkuasa, menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional.

Ini mencetuskan persoalan, adakah Anwar tidak pernah belajar daripada sejarah? Adakah beliau mahu jatuh ke dalam lubang yang sama dua tiga kali? Adakah Mahathir masih dapat dipercayai? 

Hubungan Mahathir dengan Anwar adalah bagai tajuk lagi Hetty Koes Endang, penyanyi terkenal Indonesia suatu masa dulu, Benci Tapi Rindu. Keadaan sedemikian dikenali sebagai ambivalen. 

Hakikatnya, Mahathir tidak percaya kepada Anwar dan Anwar  pula tidak percaya Mahathir. Dalam keadaan sedemikian, bagaimanakah rakyat dapat mempercayai kedua-dua pemimpin itu?