KUCHING: Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penangguhan penghantaran jemaah haji Malaysia ke tanah suci Makkah tahun ini pastinya sesuatu yang  berat untuk diterima.

Namun begitu, beliau berharap semua yang terkesan tabah dan reda dengan keputusan tersebut.

“Sesungguhnya, ia demi keselamatan malah Brunei, Singapura dan Indonesia juga telah buat keputusan sama.

“Berhubung pendirian Malaysia ini, ia juga telah dimaklumkan kepada Kerajaan Arab Saudi. Insya-Allah, hubungan baik kita dengan mereka akan dimanfaatkan bagi memastikan urusan haji Malaysia pada masa akan datang dipermudahkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebbooknya hari ini.

“Buat masa ini, kita doakan, semoga Allah SWT segera menghindarkan COVID-19 dari terus mengancam Kota Suci,” ujar Ahli Parlimen Semberong itu.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi satu kenyataan sebelum ini  berkata, akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi musim haji 1441H/2020M selaras keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke tanah suci Makkah atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Keputusan ini dibuat setelah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguh penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak CoOVID-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.

Penularan wabak Covid-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti lebih 7.88 juta orang manakala lebih 432,000 telah terkorban.

Menurut angka Worldometers, Saudi Arabia merekodkan 123,308 kes  jangkitan dengan 932 kematian sehingga petang ini.