KOTA KINABALU: UMNO Negeri Sabah mengingatkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Peter Anthony agar tidak melibatkan rakyat Sabah dalam kes peribadi beliau yang menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sengaja melibatkan rakyat Sabah dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beliau.

Ghazalie Ansing

Katanya, kenyataan Peter sungguh tidak wajar kerana bukan semua rakyat Sabah yang disiasat SPRM, sebaliknya hanya Peter secara individu yang ada kes dan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.

“Justeru UMNO Sabah mengingatkan Peter agar tidak cuba dan sengaja mengelirukan rakyat Sabah dengan menyeru mereka bangkit pertahankan maruah negeri, dengan mendakwa politik Sabah kini dibuli oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya UMNO.

“Peter cuba menimbulkan persepsi dan kekeliruan seolah-olah kesnya itu ada kaitan dengan perjuangannya untuk pertahankan hak Sabah. Ini amat tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Sebenarnya Peter dan pemimpin Warisan cuba memperalat dan memperbodohkan rakyat Sabah demi kepentingan peribadi mereka. Ini harus dihentikan. Rakyat Sabah jangan terpengaruh dengan politik kebencian yang cuba ditanam oleh mereka, ” katanya.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, kes yang membawa kepada pendakwaan Peter berlaku sebelum beliau menjadi Wakil Rakyat dan Menteri.

“Ertinya dulu kes ini timbul bukan kerana dia dibuli sebagai pemimpin kerajaan negeri pada ketika itu, tapi terbabit dengan kes salahlaku pembelian tanah oleh RISDA yang tidak menjadi kenyataan.

“Janganlah menagih sokongan rakyat kerana kes yang disebut dalam pendakwaan bukan ada kaitannya dengan perjuangan untuk rakyat”, tegasnya.

Ghazalie yakin  pihak SPRM akan menjalankan siasatan menyeluruh dan memastikan mereka yang terlibat melakukan salahlaku dalam kes urusan pembelian tanah ladang kelapa sawit oleh RISDA di Sabah dibawa ke muka pengadilan.

Peter  mengaku tidak bersalah atas lima kesalahan berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM 8.75 juta ringgit di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis.

Kelima-lima pertuduhan tersebut melibatkan urus niaga pembelian tanah di Tongod yang melibatkan pihak berkuasa kemajuan pekebun kecil perusahaan getah RISDA.

Peter berhadapan dengan dua pertuduhan dibawah seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 berjumlah 3.75 juta ringgit.