Monday, November 28, 2022

Editor hebat di Sarawak meninggal dunia

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Editor Editor Eksekutif Sarawak Tribune, Jimmy Adit,  meninggal dunia di rumahnya di Kampung Segenam, Serian malam tadi.

Menurut Editor Eksekutif Sarawak Tribune, Rajah Murugiah, beliau dimaklumkan tentang pemergian wartawan kanan itu oleh isteri Jimmy.

Katanya, Jimmy yang dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan suka berjenaka tumbang pada 8.30 malam tadi ketika mandi.

Jimmy dikenali sebagai seorang yang profesional, mahir, tekun, komited terhadap tugas.

“Beliau seorang yang begitu merendah diri dan disukai ramai. Antara editor  bahasa Inggeris yang cekap dan cemerlang di Sarawak,” kata Ketua Pegawai Operasi Sarawak Tribune, Rudi Affendi Khalik.

Mendiang pernah bertugas dengan The Star, The Borneo post, Borneo Sun dan People’s Mirror.

Wartawan, editor dan staf di Sarawak Tribune dan Suara Sarawak amat sedih dan berduka dengan pemergian mengejut beliau.

“Saya masih tidak dapat menerima bahawa beliau telah pergi untuk selama-lamanya. Saya berdoa ia tidak benar. Saya tergamam, saya tidak dapat menerima realiti,” kata Rajah yang sudah lama kenal dengan Jimmy.

“Jimmy seorang teman yang hebat dan seorang rakan sekerja yang amat berdedikasi. Beliau dapat digantung harap dan  dapat dipercayai. Persahabatan kami terjalin lebih tiga dekad,” jelasnya.

“Bukan hanya rakan-rakan di Sarawak Tribune akan berasa kehilangan beliau, tetapi dunia media di Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru