BAGI anda yang meminati debat dan filem, pasti tahu akan filem “The Great Debaters” yang disutradarai dan dibintangi Denzel Washington. Filem yang ditayangkan pada 2007 itu diangkat daripada  kisah benar mengisahkan tentang pasukan debat dari Wiley College, kampus orang kulit hitam di Marshall, Texas, Amerika Syarikat  (AS). Filem itu memaparkan perjalanan mereka bersaing melawan Harvard sebagai kampus orang kulit putih paling terkenal saat itu. 

Filem dengan latar tahun 1930-an ini juga mengangkat isu rasisme warna kulit di AS. Orang kulit hitam pada ketika itu kedudukannya dianggap rendah dan sering kali diberi hukuman mati tanpa pengadilan. Tidak syak, seperti dahulu, kini mereka terus dilayan sebagai warga kelas kedua. Fakta yang mengerikan ini ditampilkan secara epik lewat perjalanan pasukan debat Wiley College. 

Perjuangan menuntut hak sama rata di sisi undang-undang giat berlaku di AS dari 1955 hingga 1968.  

Pada 3 April 1968 pejuang hak asasi kulit hitam, Martin Luther King telah berucap di hadapan 250,000 pendukung hak-hak sivil bagi warga kulit hitam di tangga Lincoln Memorial, Washington saat memuncaknya rangkaian tunjuk perasaan kaum kulit hitam di Washington menuntut lapangan kerja dan kebebasan.  

Ucapannya yang klasik dan terkenal itu bertajuk “I have a dream”. 

Saya sering menggunakan teks berkenaan sebagai rujukan ketika mengendalikan kursus penulisan teks ucapan, bukan hanya kerana kandungannya, tetapi teknik retorik kuat. 

Antara lain, yang relevan dengan isu yang diperkatakan sekarang, beliau berkata: 

“Saya punya impian bahawa suatu hari nanti di perbukitan merah Georgia anak-anak para mantan hamba dan anak-anak para mantan pemilik hamba dapat duduk bersama-sama di satu meja persaudaraan. 

Saya punya impian bahawa suatu hari kelak bahkan bahagian Mississippi, bahagian yang begitu menyengat panas ketidakadilan dan penindasan, akan berubah menjadi oasis kebebasan dan keadilan.

Saya punya impian bahawa keempat-empat anak saya yang masih kecil suatu hari nanti akan hidup di negara di mana mereka tidak akan dinilai berdasarkan warna kulit melainkan perwatakan mereka. Saya punya impian hari ini!

Saya punya impian…anak-anak lelaki dan perempuan kulit hitam akan dapat bvergandingan tangan dengan anak-anak lelaki dan perempuan kulit putih seperti saudara. Saya punya impian hari ini!”

Malangnya, impian beliau, selepas 57 tahun ucapan itu disampaikan, belum lagi tercapai dalam erti kata sebenarnya.

Pidato beliau itu telah menggalang dukungan supaya dihapuskan dasar diskriminasi dan segregasi. Seyogia diingat, dasar segregasi yang ketika itu memisahkan  tempat duduk di dalam bas, tandas, panggung wayang, dan sebagainya antara orang kulit hitam dengan orang kulit putih. 

Peristiwa yang mendorong King menyertai kancah perjuangan hak sivil terjadi pada tahun 1955. Rosa Parks, wanita kulit hitam, yang biasa menumpang bas Montgomery, sengaja duduk di kerusi khusus diperuntukkan bagi penupang kulit putih. Ketika pemandu bas memintanya pindah selaras dengan ketentuan undang-undang segregasi, dia menolak dan akhirnya menyebabkannya disumbat ke dalam penjara.  

Ramai orang Afrika yang dibawa ke AS bermula pada abad ke-17 tiba sebagai hamba, diculik dari tanah air mereka. Meskipun perhambaan akhirnya diharamkan dan undang-undang melarang diskriminasi terhadap Afrika-Amerika dibuat, namun perkauman terhadap komuniti kulit hitam terus berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara sehingga hari ini

Mereka yang meminati sejarah dan politik negara Uncle Sam itu, pasti tahu segala yang bersifat diskriminasi ada di AS. 

Dalam tempoh tersebut, aksi protes antikerajaan dan pembangkangan sivil mencetuskan terjadinya situasi krisis antara pihak aktivis dengan kerajaan. Kekerasan ras massa terhadap orang kulit hitam kerap dilakukan oleh organisasi, polis dan orang perseorangan pada awal sejarah AS.

Misalnya, menurut satu kajian, kadar yang tidak seimbang dari  segi perkiraan 20 juta ditahan di jalan yang dilakukan polis di AS setiap tahun, membabitkan pemandu berkulit hitam, walaupun mereka belum tentu memiliki kecenderungan melanggar peraturan lalu lintas, dibandingkan dengan orang kulit putih. 

Pemandu kenderaan berkulit hitam dan Hispanik lebih sering digeledah dibandingkan orang kulit putih, walaupun mereka belum tentu membawa barang terlarang. Polis sering memandang mereka sebagai pelaku jenayah. Perlakuan semacam itu membuat perasaan kaum minoriti marah dan curiga terhadap polis dan motif mereka.

Kematian George Floyd, 46, di tangan polis bukan sesuatu yang baharu atau terkecuali. Banyak nyawa orang kulit hitam telah melayang disebabkan diskriminasi dan tindakan keras polis  AS. Imej Floyd dicekik dan ditekan sehingga mati sukar dikikiskan daripada fikiran kita. 

Kejadian malang yang menimpa Floyd mencetuskan protes dan tunjuk perasaan bukan sahaja di negara itu, tetapi juga di London, Sydney dan Paris. Protes berkenaan, dengan plakad tertera ‘saya tidak dapat bernafas’ dan ‘ keadilan untuk Floyd’ menuntut bela terhadap kematian beliau bertukar ganas akibat perbezaan politik dan sentimen negatif terhadap warna kulit.

Berdasarkan laporan televisyen dan video yang beredar sehingga ke negara ini, jelas bahawa tunjuk perasaan dan protes bertukar menjadi ganas dan keras, dengan rusuhan dan penjarahan.

Kematian Floyd telah memicu gelombang protes di AS melampiaskan  kemarahan lama yang membara atas bias ras dalam sistem keadilan AS. Lalu, apa yang menyebabkan masih banyak kes rasis  dan perkauman di AS? 

Sebenarnya, AS kini berdepan penyakit dan sedang dalam kesakitan dan tragedi di sebalik ancaman Covid-19 yang semakin mengganas.

Floyd, seorang lelaki Afrika-Amerika meninggal dunia pada 25 Mei lalu di Minneapolis, selepas lehernya ditekan menggunakan lutut oleh seorang anggota polis kulit putih selama lebih sembilan minit.

“Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas. Perut dan leher saya sakit,” rayunya. Kata-katanya itu masih terngiang-ngiang di telinga kita.

Menurut Robin DiAngelo dalam bukunya yang berjudul “White Fragility”, orang kulit putih yang progresif sering mendefinisikan rasisme sebagai sesuatu yang jelas dan sikap keras. 

Buku ini berpusat pada konteks kolonial barat kulit putih, dan dalam konteks itu, orang kulit putih memegang kekuasaan institusional.

Kejadian yang menimpa Floyd menggambarkan sesuatu yang terpendam lama dalam masyarakat dan negara AS. 

Protes yang kini meledak mengungkapkan kemarahan terpendam atas rasisme institutional di negara itu. Hakikatnya, diskriminasi dan rasisme masih menebal di negara 328 juta jiwa itu di sebalik kemajuan, liberalisme dan demokrasi yang diuar-uarkannya. 

Keganasan dan kekerasan terhadap orang kulit hitam terutama di tangan polis AS bukan sesuatu yang baharu dan mengejutkan. Sepanjang sejarah AS, orang kulit hitam sering menjadi sasaran kekerasan di tangan negara dengan menggunakan istrumen hegemoninya. 

Isu kaum mendapat tempat utama dari segi politik sejak dua tahun lalu ketika banyak bantahan meletus di seluruh negara itu berhubung layanan terhadap penduduk Afrika-Amerika, jurang besar ekonomi antara kulit hitam dengan kulit putih selain cabaran terhadap dasar bantuan masyarakat minoriti serta hak mengundi.  

Dalam satu tinjauan pada 2016, penyokong Trump menganggap warga Afrika-Amerika sebagai ‘lebih ganas’ berbanding kulit putih. Kadar yang sama menyifatkan warga Afrika-Amerika lebih ‘cenderung menjadi penjenayah’ berbanding kulit putih manakala 40 peratus daripada mereka menggelar golongan berkenaan lebih malas daripada kulit putih

Sesungguhnya, kematian warga kulit hitam berkenaan  akibat kekerasan polis kembali melukai perasaan banyak penduduk dari berbagai-bagai  kalangan di negara tersebut. Peristiwa itu membuka cela yang selama ini dipendam di tengah masyarakat di AS tentang sikap diskriminatif dan kekerasan terhadap etnik minoriti, terutama kulit hitam. 

AS memang sakit tenat dan memerlukan ubat mujarab untuk mengubatinya. 

Ubatnya ialah mengikiskan sikap rasis, perkauman, diskriminasi, prasangka dan stereotaip. Jika tidak, kisah yang menimpa Floyd pasti bukan tragedi yang terakhir.