KUCHING: Bayangan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa akan berlaku Ahli Parlimen dari GPS melompat ke PH tidak menjadi kenyataan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ahli parlimen GPS tidak semudah itu untuk goyah dan menukar haluan.
“Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak tidak semudah apa yang difikirkan oleh mereka. Kita bertamadun dan kita tidak mudah digugat,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam satu kenyataan.
Komen beliau itu sebagai reaksi kepada hantaran melalui media sosial oleh Setiausaha Agung DAP itu.
Guan Eng dalam hantaran berkenaan berkata: “Tadi di kafe Taman Burung Kuala lumpur, cantiknya burung kenyang yang terbang dan hinggap di hadapan saya. Satu petanda harapan akan terus bersinar untuk Malaysia Baharu.”
Burung Kenyalang ialah lambang Sarawak. Apabila Guan Eng berkata berkata ada satu harapan akan terus bersinar untuk Malaysia Baharu, beliau bagai memberi bayangan bahawa seorang Ahli Parlimen dari Sarawak, tentunya dari GPS, akan melompat parti.
Namun, itu tidak menjadi realiti, sebaliknya, yang melompat ialah Ahli Parlimen PKR Lubok Antu, Jugah Muyang sehingga mengurangkan satu lagi sokongan untuk Pakatan Harapan, sekali gus memberi nafas lega kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sebaliknya, Tuhan menunjukkan bahawa niat baik kita terus ditunjuk dengan Ahli Parlimen PH dari Sarawak pula menyeberangi untuk bersama-sama dengan kita,” ujar Abdul Karim.
Beliau berkata, GPS menerima baik sokongan Jugah dan percaya rakyat Lubok Antu akan mendapat manfaat dengan keputusan tersebut.
Dalam pilihan raya umum lalu, Jugah menang sebagai calon Bebas mengalahkan calon PRS.