KUCHING: PKP mulai dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, kemudian perintah berkenaan dilanjutkan beberapa kali menjadi PKPB.

PKPB yang bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 sepatutnya berakhir  Selasa ini.

Persoalannya, adakah PKPB akan dilanjutkan atau akan ditamatkan?

Persoalan ini relevan di sebalik jumlah kes  terdapat 37 kes baharu dilaporkan  sehingga pukul 12:00 tengah hari pada Sabtu.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,303 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,551 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 37 kes baharu yang dilaporkan, 8 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 29 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Sehingga kini, seramai lima  kes positif  sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sama ada PKPB dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui hari ini menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ramai percaya itulah yang bakal diumumkan Perdana Menteri pukul 3 petang ini melalui saluran televisyen nasional.

Pemerhati berkata, kemungkinan PKPB hanya diadakan di kawasan berisiko bagi memastikan rakyat dapat kembali kepada kehidupan biasa.

Maksudnya, PKPB pada amnya akan ditamatkan.