Friday, August 19, 2022

Jugah Muyang, MP Lubok Antu sertai PRS?

Secara Rawak

KUCHING: Dari Ahli Parlimen Bebas ke PKR, kemudian  menjadi wakil rakyat Bebas kembali.

Menjadi wakil rakyat Bebas tentu bukan destinasi terakhir Jugah Muyang.

Akhirnya, apa keputusan penting yang bakal dibuat oleh Ahli Parlimen kawasan majoriti Iban, Lubok Antu susulan perkembangan semasa politik negara dan menjelang PRN Sarawak yang dijangka suku pertama tahun depan?

Adakah beliau akan terus menjadi  wakil rakyat dan calon Bebas?

Untuk berfungsi dengan lebih efektif, Jugah perlu menyertai salah sebuah parti dalam GPS. 

Alasan beliau kembali menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg adalah kerana soal pembangunan di kawasannya.

Untuk itu, Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing, membuka pintu parti pimpinannya kepada Jugah.

Masing berkata, Jugah dialu-alukan menyertai PRS, salah satu parti komponen GPS.

“Apatah lagi kerusi Lubok Antu milik PRS. Ini memudahkan saya membuat keputusan siapa yang hendak dicalonkan menjelang PRU-15,” kata Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Dalam PRU lalu, PRS kalah di Julau, Selangau, dan Lubok Antu.

Masing berkata punca kekalahan tiga calon PRS dalam PRU14 adalah kurangnya kesepakatan dalam kalangan parti komponen BN.

Hakikatnya, bagi pengamat punca sebenarnya ialah krisis dalam PRS susulan pemecatan Datuk Joseph Entulu Belaun daripada parti itu.

Dalam PRU-14, Jugah meraih 28 peratus undi apabila mendapat 5,834 undi berbanding 4,775 undi dimenangi calon BN-PRS, Robert Pasang Alam dan calon PKR Nichoilas Bawin Anggat yang mendapat 3,942 undi. 

Jumlah yang turun mengundi ialah 14,785 orang atau 71.1 peratus. Majoriti pengundi ialah kaum Iban iaitu 90 peratus.

Naib Presiden PKR itu mengumumkan keluar parti dan menyokong PN dan GPS pada Jumaat lalu.

Tidak mungkin Jugah mahu menyertai parti pembangkang Bersatu, Amanah atau PSB.

Kini, pintu hati Masing dan pintu rumah PRS telah ternganga. Maka terpulang kepada Jugah untuk mengetuk dan memasukinya. 

Ini menuntut keputusan definitif, sama seperti ketika beliau membuat keputusan menyertai PKR dan kembali menyokong PN.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru