Tuesday, June 28, 2022

Isu Petronas, Hasil Sarawak dan Penglibatan Anak Tempatan

Secara Rawak

Petronas gagal dalam permohonan untuk mengadakan prosiding bagi menangguhan pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap Produk Petroleum bagi tahun 2019 telah memberikan kesan besar kepada Petronas kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam konteks ini, Petronas melihat banyak perkara yang boleh memihak kepada kerajaan negeri Sarawak. Sekiranya berterusan ia seolah-olah akan mengakibatkan yang kalah atau menang dalam perbezaan pendapat ini tidak akan menguntungkan kepada mana-mana pihak pun. Ia umpama kalah menjadi abu dan menang  menjadi arang. Tambahan pula perlu berjejak di bumi nyata dan berpegang kepada prinsip ‘ di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung”

Jika berlaku kekeruhan berterusan di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas melibatkan mahkamah ia akan menjejaskan reputasi Petronas syarikat milik negara. Petronas ialah satu-satunya syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam Forbes sebagai antara 500 syarikat terbaik dunia. 

Situasi Petronas

Petronas banyak pelaburan dan aset  di luar negara. Aset Petronas pernah dianggarkan sekitar RM135 bilion USD (2016) manakala  mempunyai aset luar negara seperti Petronas Canada. Keuntungan Petronas pada tahun 2019 ialah RM40.5 bilion, manakala pada tahun kewangan 2018 Petronas untung bersih  sebanyak RM55.3 bilion. Kesemua ini bergantung kepada ekosistem pasaran minyak sedunia khususnya tindak tanduk import dan eksport negara pengeluar terhadap minyak mereka.  

Ketika ini juga  apabila melanda wabak Covid-19, dan banyak langkah kawalan pergerakan di negara-negara di seluruh dunia. Situasi ini menyebabkan harga minyak turun dalam kadar paling rendah di seluruh dunia.  Sekiranya, terdapat gangguan lagi seperti saman mahkamah implikasi  besar akan berlaku kepada Petronas yang membawa perkara seperti keyakinan pelabur dan reputasi Petronas akan menjunam teruk. Ia juga memberikan kesan kepada aktiviti Petronas di seluruh negara dan dunia.  

Tentulah rakyat negara ini tidak mahu Petronas jatuh akibat krisis dalaman di negara sendiri  dan dikeruhkan lagi oleh akibat wabak Covid-19 yang turut mengakibatkan harga minyak jatuh teruk.  Maknanya, pendapatan negara semakin berkurangan dan negara pengeluar minyak seperti Venezuela kini mengalami krisis ekonomi paling parah akibat harga minyak turun secara menjunam dan mengakibatkan kehidupan rakyat di negara tersebut menjadi semakin susah dan miskin.

Pintu Rundingan

Langkah terbaik Petronas ialah menyelesaikan dengan cara rundingan dan diplomasi sehingga berlakunya pembatalan rayuan Petronas yang dijadualkan pada 17 jun 2020. Maknanya, Petronas tidak mahu mengeruhkan suasana tersebut,  lalu bersetuju membayar Cukai Jualan Negeri ( SST) sebanyak RM 2 bilion pada tahun 2019.

Tindakan Petronas terpaksa akur  dan terpaksa bersetuju  untuk membayar sejumlah cukai SST tersebut sebenarnya satu bentuk pengiktirafan terhadap tuntutan kerajaan negeri Sarawak dan juga mengiktiraf Perlembagaan Negeri Sarawak terhadap SST untuk produk petroleum.  Dari segi keputusan perundangan  pula, Penghakiman Mahkamah Tinggi memperakukan  kuasa dan hak Sarawak  dari segi Perlembagaan untuk melaksanakan SST terhadap apa-apa produk petrolelum di Sarawak.

Perspektif Undang-Undang

Daripada segi undang-undang pula, penarikan balik rayuan Petronas  membuktikan Petronas terpaksa akur  dengan keputusan Mahkamah Tinggi.  Dalam ini ternyata hak-hak Sarawak  dalam hal ehwal minyak dan gas, isu perairan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga Perjanjian Malaysia dan Syor  Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 menjadi asas kepada usaha mempertahankan hak-hak Sarawak.

Justeru, tidak timbul isu Kerajaan Negeri Sarawak  bersetuju menerima pembayaran RM 2 bilion daripada Petronas bagi cukai jualan produk petroleum lima peratus menerusi penyelesaian luar mahkamah kerana kes tersebut lemah. Hal ini kerana Sarawak melihat perkara tersebut dalam rangka semangat persekutuan dan menghargai sumbangan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak termasuk dari segi perlembagaan, kerajaan persekutuan menyediakan sepenuhnya perkhidmatan doktor polis,guru, tentera atau dalam kata lain daripada pendidikan, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. 

Sekiranya isu ini tanpa penyelesaian, turun naik ke mahkamah hingga berdepan risiko kalah di Mahkamah Rayuan, hal ini merugikan rakyat dan kerajaan negeri Sarawak yang hanya berputih mata sekiranya kalah. Maka, penyelesaian RM 2 bilion untuk Cukai Jualan 2019 ini dianggap langkah awal sebelum rundingan lanjut  dengan pihak Petronas.

Hasil Sarawak

Implikasi daripada ini, maka Kerajaan Negeri Sarawak mendapat 5 peratus daripada keuntungan  40.5 billion, iaitu sebanyak RM 2.25 bilion. Jumlah ini ditambah lagi dengan RM2 bilion cukai jualan 2019. Maka, Sarawak mendapat RM4.25 bilion daripada Petronas pada tahun 2019.

Sebenarnya Cukai Jualan atau SST sebanyak RM 2 bilion diterima Sarawak tersebut hanya dari Petronas dan ini tidak termasuk SST yang perlu dibayar oleh syarikat minyak lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina serta  syarikat yang lain beroperasi di negeri ini. Maka, pendapatan Sarawak daripada SST lebih besar.

Hakikatnya besar atau kecil pendapatan hasil SST Sarawak bergantung kepada suasana pasaran dunia dan semasa.  Bagi tahun 2020, jumlah wang diterima Sarawak ini bergantung kepada keuntungan Petronas dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Penglibatan Anak Tempatan

Justeru, kerajaan Sarawak perlu memikirkan kaedah lain mendapat manfaat daripada mana-mana syarikat minyak yang beroperasi di negeri Sarawak. Antara lain ialah syarat dasar memasukkan anak tempatan Sarawak dalam bidang pengurusan profesional dalam syarikat-syarikat tersebut sehingga 60 peratus untuk memastikan lebih ramai anak tempatan Sarawak terlibat secara aktif dan tidak sekadar jawatan rendah sahaja. 

 Penglibatan ini lebih bermakna dan mampu memberikan  impak sosioekonomi kepada rakyat negeri Sarawak dan pada masa yang sama mengekalkan pelaburan dan pertumbuhan industri tersebut. Selain menggalakkan  anak tempatan  terlibat dalam aktiviti huluan serta pelaburan dalam perniagan dan industri hiliran berkaitan industri minyak dan gas di Sarawak

Hal ini bermakna sikap diplomasi Sarawak perlu sentiasa ada dan pada masa yang sama terus mempertahankan hak kedaulatan Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya dan hak-hak lain sebagaimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk mendapat bahagian yang lebih adil dan saksama.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru