PUTRAJAYA: Suami atau isteri yang perlu merentas negeri dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya untuk berjumpa pasangan dan keluarga masing-masing perlu mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dulu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kebenaran merentas negeri untuk suami atau isteri yang diberikan kerajaan bukanlah secara automatik.

“Sebelum suami atau isteri membeli tiket penerbangan (untuk merentas negeri di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak untuk bertemu pasangan dan keluarga) dapatkan kebenaran polis dulu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Perdana Putra di sini, pada Isnin seperti dilapor Bernama.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Sarawak mengenakan syarat lebih ketat bagi pergerakan berdasarkan peraturan yang diwartakan sebelum ini.

“Untuk Sarawak rentas daerah pun tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran polis,” katanya.

Menurut beliau, jika seseorang dari Semenanjung dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hendak ke daerah lain pun tidak dibenarkan tanpa kebenaran polis.

Ismail Sabri berkata aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan sepanjang PKPB sehingga 9 Jun kecuali atas empat alasan iaitu kecemasan, kematian, bekerja dan pasangan suami isteri yang terpisah.