SEBUYAU: Sambutan perayaan Hari Gawai penduduk di sebuah rumah panjang di Kampung Ensengei Iban di sini, hampir bertukar tragedi apabila kebakaran tercetus di sebuah bilik tidur, di rumah panjang tersebut.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya menyelamatkan rumah panjang 48 pintu dalam kejadian itu yang berlaku pada malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan kebakaran rumah panjang itu pada jam 9.53 malam.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, 10 anggota PBS Sungai Buluh, dikerah ke lokasi bagi melakukan tindakan awal sebelum kehadiran anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran berlaku di sebuah bilik tidur dan anggota PBS menggunakan alat pemadam api jenis debu kering bagi memadam kebakaran itu.

“Tindakan pantas PBS itu menyelamatkan semua penghuni rumah panjang berkenaan,” katanya.

Tambahnya juga, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya juga hadir di lokasi kejadian selepas itu. Ketika anggota dari BBP Asajaya tiba di lokasi, kebakaran itu sudah berjaya dikawal oleh anggota PBS.

Justeru katanya, anggota PBS Sungai Buluh itu harus dipuji kerana tindakan pantas mereka berjaya menghalang api memusnahkan rumah panjang yang diperbuat daripada kayu itu.

“Anggota BBP Asajaya kemudian membuat pemeriksaan rapi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Siasatan turut dijalankan untuk mengenalpasti pun kejadian,” katanya.