KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pihak berkuasa tidak lagi berlengah dan menangguhkan usaha meminda undang-undang bagi menghukum pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dengan hukuman yang lebih berat.

Menurut beliau, rakyat sedang memerhatikan dan menilai prestasi kerajaan sedia ada dan sekiranya gagal melakukan yang sepatutnya, maka kerajaan bakal dihukum oleh rakyat kelak.

“Pada 4 Mei 2020 yang lalu saya ada menggesa pihak berkuasa agar meminda undang-undang sedia ada berkaitan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada pihak lain yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Hari ini kita dikejutkan sekali lagi dengan berita menyayat hati apabila seorang lagi mangsa yang tidak bersalah telah dilanggar sehingga mati oleh pemandu mabuk,” katanya lagi.

Ujarnya, walaupun banyak peringatan  dibuat pihak berkuasa nampaknya ia langsung tidak memberi sebarang kesan.

“Saya harap pihak berkuasa tidak lagi berlengah dan menangguhkan usaha meminda undang undang bagi menghukum Pemandu Mabuk yang menyebabkan kematian dengan hukuman yang lebih berat,” katanya

Dilaporkan, dalam kejadian pada kira-kira 1.30 pagi semalam, satu lagi kes maut disebabkan pemandu mabuk berlaku.

 Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta, dipercayai dipandu lelaki mabuk di Lebuh raya Sultan Iskandar menghala ibu negara.