MIRI: Seorang lelaki ditemui cedera di bahagian kaki kanan setelah kenderaan dipandunya terlibat kemalangan kendiri berhampiran stesen minyak di Taman Tunku Abdul Rahman, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Miri, PBK II Abg Muhd Fhazil Abg Abdul Manaf berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan sekitar jam 12.30 malam sebelum mengerahkan beberapa anggota BBP Miri ke lokasi.

Menurutnya, mangsa, merupakan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.

“Setibanya di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Porton Waja terlibat kemalangan kendiri berhampiran stesen Petronas Taman Tunku Abdul Rahman.

“Seorang mangsa dipercayai pemandu ditemui dalam keadaan sedar mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan di lokasi” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan rawatan lanjut.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa hasil daripada laporan.

Ujarnya, operasi ditamatkan sekitar jam 1 pagi setelah memastikan keadaan di lokasi selamat sepenuhnya.