KUCHING: Sarawak sekali lagi merekodkan tiada kes baharu covid-19 dilaporkan, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya mengesahkan bilangan kes positif covid-19 masih kekal sebanyak 552 kes.

Tambahnya, sebanyak 11 kes pesakit sembuh dan discaj daripada Hospital Umum Sarawak (10 orang) dan Sibu (1) turut dilaporkan.

“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif covid-19 yang telah sembuh dan discaj adalah seramai 519 orang atau bersamaan 94.02 peratus.

“Selain itu, seramai 18 PUI baru dilaporkan dan seramai 18 kes masih menunggu ujian makmal,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Dedahnya, lima kawasan masih dikategorikan sebagai Zon Kuning termasuk Samarahan, Tanjung Manis, Bintulu, Serian, dan Kuching.

Dalam pada itu, katanya, keputusan terbaharu Aktiviti Pengesanan Secara Aktif (ACD) di Belawai dan Tanjung Manis menunjukkan sebanyak 337 sampel diambil adalah negatif dan dua sampel masih menunggu ujian makmal.

JPBNS dalam kenyataan itu turut mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang menyambut perayaan berkenaan.