MIRI: Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah menyerahkan sumbangan berbentuk kek Aidilfitri dan Gawai kepada petugas-petugas barisan hadapan yang bertugas di Lapangan Terbang Miri.

Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Datuk Lee Kim Shin berkata ianya sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas di Lapangan Terbang Miri dan tidak dapat mengambil cuti semasa musim perayaan disebabkan perhidmatan mereka diperlukan.

”Semoga sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan sokongan moral kepada petugas barisan hadapan semasa menjalankan tugas di lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Melawat Lapangan Terbang Miri bagi memantau tugasan petugas barisan hadapan pada Ahad.

Petugas barisan hadapan ini terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Miri, Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Tanah dan Survey (JTS) yang mengurus tempat-tempat penginapan, Jabatan Kesihatan Bahagian Miri, Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM), Polis DiRaja Malaysia (PDR) dan wakil-wakil hotel.

Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setiap penumpang yang datang dari luar Sarawak perlu dipakaikan ‘wristband’ dan dikuarantin.

“Semua yang tiba di Lapangan Terbang Miri akan disaring dan ditemu ramah berdasarkan SOP COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipakaikan ‘wristband’, seterusnya menjalani kuarantin di hotel yang telah disediakan,” tambahnya.

Dalam tempoh tersebut, sekiranya keputusan ujian yang diperolehi negatif, mereka akan dibenarkan untuk pulang ke rumah dan meneruskan kuarantin di rumah sehingga tempoh 14 hari itu tamat.