QUEENSLAND: Corona DeVries menulis sepucuk surat kepada pelakon terkenal Tom Hanks dan isterinya Rita Wilson, selepas mendapat tahu pasangan itu disahkan positif dijangkiti Covid-19.

Mereka berdua terkena virus itu ketika melawat Australia.

Dalam suratnya DeVries menulis: “Saya mendapat tahu awak dan isteri dijangkiti korona ketika berada di Australia. Anda berdua okeykah?”

Ketika virus itu menjadi pandemik di seluruh dunia, DeVries atau nama sebenarnya Corona DeVries diberikan nama baru oleh budak-budak di sekolahnya iaitu “coronavirus”.

Dia menjadi marah setiap kali dipanggil dengan nama tersebut berikutan itu dia terdorong menulis surat kepada Tom Hanks dan isterinya.

Selain bertanyakan khabar dia juga memberitahu pasangan itu, dia tahu bagaimana perasaan mereka.

Selang tidak lama kemudian, tanpa disangka, dia menerima surat balasan daripada Tom Hanks, yang merupakan suara karaktor “Woody” dalam filem “Toy Story”.

Surat itu ditaip sendiri oleh Hanks menggunakan mesin taip jenama Corona yang dibawa dan digunakannya semasa di Australia.

Mesin taip itu juga diberikan Hanks kepadanya sebagai hadiah. Hanks menggelar DeVries sebagai “Rakan Corona” dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana bertanyakan khabar dia dan isterinya.

Selain memberi mesin taip itu Hank turut menyertakan beberapa keping sampul surat yang sudah ditulis alamat peribadinya.

Pada bahagian bawah isi suratnya Hank menulis: “You got a friend in me!” – iaitu judul lagu tema filem “Toy Story” .