PUTRAJAYA: Malaysia kini berdepan  cabaran peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara yang menuntut usaha semua pihak untuk menanganinya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Peningkatan kes itu dapat dilihat secara ketara mulai 29 April lepas disebabkan oleh kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Penularan kes  dalam kalangan bukan warganegara  berlaku di beberapa depot tahanan Imigresen dan juga dalam kalangan pekerja bukan warganegara pelbagai sektor dalam komuniti.

“Golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia. Malahan, kita perlu membantu mereka untuk mengurangkan penularan COVID-19 di negara kita,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dalam pada itu, kerajaan sudah pastinya akan mengambil kira pelbagai sudut sebelum menamatkan PKPB dan sehingga itu rakyat perlu terus berwaspada supaya tidak dijangkiti virus berbahaya itu.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 7,857 kes positif COVID-19 dengan 115 kes kematian.

Menurut portal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih enam juta kes positif  Covid-19 dengan lebih 377,000 kematian dilaporkan di seluruh dunia, setakat  pagi ini.