KUCHING: Sepanjang hari pertama sambutan Gawai di Sarawak, tiada tangkapan dan kompaun atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Prosedur Operasi Standard (SOP) sambutan perayaan Gawai pada Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata sebanyak 71,043 jumlah kenderaan telah diperiksa dan 3,313 premis termasuk kawasan perkampungan dan perumahan juga dipantau di seluruh negeri dalam tempoh 24 jam.

“Semua aliran trafik berjalan lancar di seluruh negeri dan tiada kes mereka yang cuba merentas daerah tanpa kebenaran serta tiada kompaun dikeluarkan.

“Sebanyak 50 sekatan jalan raya dilakukan dengan kekuatan anggota seramai 843 yang bertugas pada Hari Gawai dan berjaya memeriksa 71,043 buah kenderaan.

“Manakala pasukan pemantau iaitu sebanyak 108 pasukan telah memantau 3,313 premis termasuk rumah-rumah di kampung dan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Selain itu, tambahnya, operasi pemantauan akan diteruskan untuk memastikan tiada yang ingkar PKPB dan SOP yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.