LUBOK ANTU: Suasana sambutan Hari Gawai Dayak yang berlangsung dalam norma baharu bagi penduduk di Rumah Unsa Skandis, Sekunyit Lemanak Lubok Antu terganggu lantaran berlakunya ancaman tanah runtuh di rumah panjang tersebut pagi tadi.

Ancaman runtuhan tanah dari bukit berdekatan dikatakan berlaku selepas hujan lebat turun di kawasan tersebut.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan daripada penduduk rumah panjang berkenaan jam 8.50 pagi.

Jurucakap BBP Betong, PBK II (KUP) Kassim anak Lunchat berkata, ketika sampai di lokasi pihak mereka mendapati berlaku rekahan tanah di kawasan rumah panjang 24 pintu berkenaan akibat aliran air kuat selepas hujan.

Penduduk katanya menghubungi bomba bagi meminta bantuan kerana bimbang runtuhan tanah akan membahayakan nyawa penduduk dan mereka meminta khidmat nasihat pihak bomba bagi menangani masalah tersebut.

“Sampai di tempat kejadian didapati benar kejadian tanah runtuh.Pihak kami menasihati penduduk rumah panjang berhati hati dan menyuruh penduduk menutup rekahan tanah tersebut dengan kanvas bagi mengelakkan berlaku runtuhan susulan yang lebih teruk,” ujarnya.