KUALA LUMPUR: Jika mesej amaran bahaya merokok di kotak rokok tidak dapat memberi kesan secara menyeluruh, golongan perokok perlu berfikir banyak kali selepas ini bahawa mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti Covid-19, menurut laporan Bernama.

Ia susulan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat Covid-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, perokok dinasihatkan supaya tidak perlu berlengah lagi, buang tabiat merokok dengan segera, amalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling anda.

“Sebelum penularan Covid-19, tabiat merokok sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia termasuk merosakkan paru-paru namun masih ada perokok tidak menghiraukan fakta itu,” kata laporan itu.

Sedar atau tidak, merokok meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak Covid-19 ketika ini, jadi pilihan di tangan anda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan baru-baru ini juga memaklumkan bahawa perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus Covid-19.