SIMANGGANG: Pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB )kini giat dijalankan di sekitar bandar ini bagi memastikan ia dipatuhi semua premis perniagaan, kilang dan lain – lain premis yang beroperasi sepanjang PKPB.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kapten (PA) Siti Huzaimah Haji Ibrahim berkata, semasa berlangsung sesi pemantauan semua pekerja diberi nasihat supaya memakai topeng muka dan setiap kedai juga perlu memeriksa suhu badan pelanggan dan menyediakan ‘hand sanitizer’ serta mengambil nama setiap pelanggan yang datang.

Operasi pemantauan jelasnya melibatkan 2 anggota APM, 2 anggota PDRM, 2 anggota ATM,2 anggota Rela dan seorang wakil Majlis Daerah Sri Aman.

Pemantauan yang bermula jam 8 pagi tadi akan berlangsung sehingga jam 10 malam ini.

“Kawasan yang dipantau ialah Pasar Tamu Baru, Doremon Supermarket, Kedai DIY, Kedai VIVO Phone, Bayu Food Court, Fuan Trading,Sing Wang Trading,Syarikat Eyong Chin Motor dan NRA Sweet & Young Company.

“Semasa sesi pemantauan pihak terlibat memberikan nasihat dan amaran kepada pemilik premis serta orang ramai yang didapati tidak mematuhi garis panduan PKPB yang sedang berkuatkuasa.

“Pemantauan pematuhan PKPB bagi Daerah Sri Aman hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.