SHAANXI: Pada 17 Oktober 1988, Mao Yin baru berusia 2 tahun apabila dia diculik seseorang. Ketika itu dia dan ayahnya, Mao Zhenjing dalam perjalanan pulang ke rumah dari taska di Xian wilayah Shaanxi.

Mao Yin yang kehausan meminta ayahnya membeli minuman. Mereka berdua berhenti di hadapan hotel dan ayahnya hanya berpaling beberapa saat dari Mao Yin.

Sebaik sahaja menoleh semula ke arah anaknya, Mao Yin sudah hilang. Keluarganya melakukan pelbagai usaha mencarinya termasuk memasang poster di jalanan.

Kira-kira 32 tahun kemudian Mao Yin berjumpa semula dengan keluarganya dan pertemuan pertama mereka diadakan di hadapan pihak media.

Sepanjang kehilangan Mao Yin, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah putus asa mencarinya. Ibunya Li Jingzhi meletak jawatan dan mendedikasikan seluruh hidupnya mencari anaknya di seluruh pelosok.

Ibu bapanya juga muncul dalam siaran televisyen terkenal seperti The X Factor, meminta orang ramai membantu mengesan Mao Yin.

Li turut menyertai pertubuhan “Baby Come Back Home”, pertubuhan membantu keluarga yang kehilangan anak-anak.

Mao Yin dikatakan dijual kepada sebuah keluarga yang tiada anak yang tinggal kira-kira 1,000 kilometer dari keluarga asalnya.

Kisah kehilangan Mao Yin mendapat perhatian lelaki yang tinggal kira-kira 1,000 kilometer dari Xian yang memberitahu dia mengambil seorang anak angkat.

Dia segera menghubungi pihak polis dan memberitahu kemungkinan anak yang dicari sejak sekian lama itu ialah anak angkatnya.

Beberapa ujian dilakukan termasuk ujian DNA dan hasilnya benarlah sangkaan bapa angkat Mao Yin bahawa dia ialah anak biologikal Li Jingzhi dan Mao Zhenjing.

Mao Yin atau Gu Ningning, nama yang diberikan keluarga angkatnya ditemukan semula dengan ibu bapanya.