SARIKEI: Penduduk rumah panjang di Bintangor dan Sarikei amat berterima kasih kepada Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol di atas sumbangan peruntukan Hari Gawai.

Majlis agihan peruntukan itu disempurnakan semalam di tiga lokasi oleh Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop.

Penerima terdiri daripada 383 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 26 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM43,500.

Menurut Abdullah, peruntukan JKKK Rumah Panjang ini adalah untuk menampung perbelanjaan masyarakat rumah panjang yang ingin mengadakan majlis kecil sesama keluarga mereka semasa perayaan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.