KUCHING:  Adakah melompat parti sesuatu yang baik?

Ia sesuatu yang tidak terhormat, malah ia juga sesuatu tindakan menandakan kepintaran.

Setidak-tidaknya itu ialah pandangan Presiden PRS Tan Sri Dr James jemut Masing.

Komen ini dibuat di sebalik tindakan Baru Bian dan penyokong beliau melompat parti.

Baru, Adun Ba Kelalan dan Ahli Parlimen Selangau mengambil keputusan untuk menyertai PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh pada Sabtu.

“Kami katak yang bijak dan pintar kerana melompat parti. Hanya katak bodoh yang memilih untuk  kekal,” Baru dipetik sebagai berkata.

Baru ialah bekas Pengerusi PKR Sarawak dan bekas Menteri Kerja Raya ketika PH memerintah selama 22 bulan sebelum tumbang pada Februari lalu.

Masing berkata, unsur kepercayaan akan hilang apabila wakil rakyat melompat dari sebuah parti yang beliau dipilih rakyat ketika bertanding.

“Lagi kerap seseorang wakil rakyat melompat, lagi banyak dia hilang kewibawaan di mata masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhirnya, tegas beliau, wakil rakyat terbabit menjadi tidak bernilai di mata masyarakat.

Justeru, kata beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, pengumpan tindakan tersebut sama-sama bersalah.

“Menjelang sambutan Gawai Dayak 2020, Baru Bian memberi takrifan baharu katak politik atau istilah rasmi yang betul, melompat parti,” katanya.

“Dalam politik, istilah katak bukan sesuatu yang terhormat,” katanya.

Atas alasan itu, jelas Masing, parlimen dan dewan undangan negeri untuk beberapa tahun berusaha memperkenalkan undang-undang antilompat parti bagi mengekang wakil rakyat daripada melompat parti.