Baru Bian dikenali sebagai orang kanan Mohamed Azmin Ali bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).  Beliau merupakan wakil rakyat parlimen Selangau dan antara individu penting yang terlibat  dalam Langkah Sheraton hingga tumbangnya Pakatan Harapan, dan terbentuknya Perikatan Nasional. 

Sebelum itu, di mana-mana sahaja terdapat pergerakan Azmin, di situlah Baru Bian akan menyusul, sehingga beliau mengikut.

Pelantikan Baru Bian ialah kemuncak kerjaya politik Baru Bian dalam PKR dan kerajaan. Namun Baru Bian, bersama Azmin Ali serta sembilan lagi antara yang awal keluar parti, meninggalkan Pakatan Harapan yang pada mulanya membentuk blok bebas di Parlimen.

Selain Baru Bian dan Azmin Ali, nama ahli parlimen yang keluar parti  termasuklah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah ( Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahang, Datuk Seri Santhara Kumar (Segamat), Jonathan Yasin (Ranau) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).  Jumlah ini sebenarnya kecil berbanding dengan digembur-gemburkan sebelum ini bahawa kononnya 16 hingga 20 ahli parlimen PKR yang tidak berpuas hati dengan Presiden PKR akan  keluar parti.

Tersisih dalam percaturan politik semasa? 

Apabila Perikatan Nasional dibentuk, ramai kalangan serpihan ini mendapat tempat dan kedudukan yang baik. Azmin dilantik menjadi Menteri Kanan, selain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,   Zuraida Kamarudin dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saifuddin Abdullah sebagai Menteri Komunikasi dan MultiMedia, 

Rakan dari Sarawak Baru Bian, iaitu Ali Biju dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli manakala ahli parlimen Willie Mongin yang dianggap junior dalam politik dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Namun nama Baru Bian tidak tersenarai dalam kabinet Perikatan Nasional. Sebaliknya ahli parlimen yang lebih muda tersenarai. Ini sudah tentu mengecewakan Baru Bian, sedangkan beliau ialah pemimpin kanan PKR bersama Azmin Ali.  Beliau pernah memegang jawatan Menteri Kerja Raya yang merupakan jawatan menteri kanan. 

Ketika konvensyen PKR Sarawak dilangsung di Miri pada tahun lepas, Baru Bian yang merupakan pengerusi PKR Sarawak tidak hadir walaupun Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi  dan nama-nama besar dalam PKR hadir walaupun  mereka terpaksa menyeberang Laut China Selatan. Ini  dilihat  sebagai  komitmen Baru Bian yang menjadi sekutu Azmin ketika itu untuk tidak memberikan sokongan terhadap aktiviti konvensyen PKR Sarawak  yang merupakan suatu protes halus terhadap penolakan Anwar sebagai presiden parti dan kesetiaan terhadap Azmin Ali yang disifatkan sebagai kumpulan kartel dalam PKR.   

Namun dalam politik tidak ada musuh dan kawan politik yang kekal. Yang kekal ialah kepentingan diri. Perjuangan Baru Bian yang sangat setia  bersama Azmin Ali seolah-olah dilupakan umpama habis manis sepah dibuang, atau sudah dapat gubah dikarang, bunga sekaki dicampak buang.

Azmin pula dilihat mempunyai sekutu baru dalam politik seperti Hishamuddin Hussein dan Takiyuddin Hassan seolah-olah Azmin  Ali sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Azmin Ali kini merupakan orang kepercayaan kanan Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang disebut-sebut sebagai pemangku Perdana Menteri secara rasmi sekiranya ketiadaan Perdana Menteri.

Ternyata dalam politik, tiada istilah sama-sama tidur sekatil dan sebantal sebaliknya mimpi tetap berlainan, cita-cita politik akan mengetepikan sahabat politik seperjuangan asalkan dapat memperoleh kuasa dan kedudukan. 

Sudah pasti, apabila kurang dihargai dan diiktiraf oleh teman  baik politiknya, mendorong Baru Bian bertindak sebagai ahli parlimen bebas, sambil menunggu peluang akan wadah untuk beliau bergerak dalam politik. Dalam keadaan situasi sekarang amat sukar Baru Bian bergerak. Hal ini kerana beliau dimenangkan oleh pengundi  dan semakin popular setelah menggunakan  logo dan nama Parti Keadilan Rakyat (PKR).  

Sekiranya beliau membuka parti baru, tidak ada sesiapapun mengenali parti tersebut, baik cap ayam, kerbau, atau simbol lain. Lagipun bukan mudah untuk membuka parti baru dalam keadaan perlu jentera dan wang bergerak, lebih-lebih dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan.  Kesuntukan masa untuk membuat persediaan rapi jika membuka parti baru, sedangkan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa sahaja boleh dibubarkan sebelum Jun 2021.

Tambahan pula sudah banyak parti politik di Sarawak bertapak, sama ada parti dari Semenanjung Malaysia seperti PKR, DAP, Amanah, PAS dan Bersatu. Begitu juga wujudnya parti gergasi yang berteraskan tempatan seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang hanya mengalami kekalahan parlimen  sejak tahun 1974 di Puncak Borneo akibat faktor salah pemilihan calon yang tidak diterima akar umbi. 

Wadah PSB

Baru Bian tiada pilihan, maka Parti Sarawak Bersatu (PSB) menjadi pilihan untuk beliau bergerak. Hal ini kerana PSB tidak mempunyai masalah dari segi sumber kewangan parti, dianggotai oleh wakil-wakil rakyat yang berpengalaman luas, dan mempunyai keupayaan  jentera untuk meningkatkan keahlian di peringkat akar umbi. Tambahan PSB umpama parti PKR, iaitu parti berteraskan pelbagai kaum di Sarawak, ini memudahkan gerak gerak diperluaskan di seluruh peringkat. 

Pembabitan Baru Bian ke PSB akan membawa kepada kemasukan ahli-ahli setia Baru Bian yang selama ini berada dalam PKR berpindah ke parti PSB.  Namun, ini tidak semudah yang dijangka kerana logo dan sejarah perjuangan PKR lebih panjang  dan masih mempunyai ikon-ikon besar yang terdiri daripada ikon baru dan lama.  Sukar untuk menandingi nama besar seperti Anwar Ibrahim. Begitu juga nama seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Wong Chen yang telah terdidik lama dengan budaya politik PKR.  PSB pula kekurangan ikon-ikon politik dalam kalangan generasi muda.  

PSB wajar membina pemimpin pelapis dalam kalangan anak muda seperti dilakukan secara giat oleh DAP dan PKR, sudah tibanya masa depan negara turut disumbangkan oleh anak-anak muda. Pada pilihan raya akan datang, dijangka terdapat 7 juta undi pengundi muda akan mengundi yang bermakna suara anak muda perlu diketengahkann melalui calon-calon undi muda.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.