PUTRAJAYA: Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bercadang untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor sosial, sekiranya kes positif Covid-19 yang melibatkan warga tempatan didapati menurun menjelang hujung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberi bayangan antara sektor yang mungkin dipertimbangkan ialah sektor pendidikan dan sukan, setelah menilai kesedaran dan kepatuhan rakyat mengenai prosedur operasi standard (SOP).

“Kita harap pasca seminggu Hari Raya, hari ini hanya ada 10 rakyat Malaysia yang positif, ia petanda positif dan harap minggu berikutnya, kita nak lihat satu atau dua digit.

“Jika itu berlaku, pada 9 Jun atau sebelum berakhir PKPB ini kita mahu lihat pendekatan keseluruhan atau buka lebih banyak sektor, beri kelonggaran, seperti sektor sosial, sukan dan pendidikan terutamanya kepada Tingkatan 5 dan 6 kerana mereka akan hadapi peperiksaan.

“Jadi kita sedang pantau hari dari hari dan berharap dengan trend positif ini boleh berterusan,” katanya pada sidang media harian petang Sabtu.

Tambah Noor Hisham, disiplin sosial bagi rakyat Malaysia pada masa ini amat tinggi iaitu pada kadar 90 peratus.

Ujarnya fasa pemulihan kini lebih tinggi berbanding kes baharu dan berharap pasca seminggu Hari Raya akan terus mempamerkan tanda positif.