LIMBANG: Projek Penanaman Kelapa Pandan di Kampung Sayung seluas 20 hektar merupakan program di bawah Kerajaan Negeri Sarawak melalui Program Fasilitasi Pertanian (AFF).

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata pada tahun 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota telah menerima peruntukkan sebanyak RM2 juta untuk Fasilitasi Pertanian untuk pelbagai tanaman termasuk kelapa pandan, nangka madu, rambutan anak sekolah, petai dan pelbagai termasuk juga sayur-sayuran.

“Kita menyediakan dari segi benih, input pertanian seperti baja, racun dan juga peralatan untuk meracun rumput.

“Para peserta hanya perlu menyediakan tapak dan kita juga memberi peruntukan untuk membersihkan kawasan. Alhamdulillah, program AFF ini telah pun berjaya kita agih-agihkan bagi tahun 2019.

“Kita harapkan agar penerima dapat menjaga benih pokok kelapa ini sehingga ianya mengeluarkan hasil dan dapat kita jual sama ada untuk pasaran tempatan atau pun pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menanam Benih Kelapa Pandan di Tapak Projek Kelapa Pandan Kampung Sayung pada Khamis.

Projek Kelapa Pandan ini melibatkan 20 peserta dengan keluasan 20 hektar dengan setiap peserta diberikan 145 anak benih kelapa pandan untuk ditanam di kawasan masing-masing.

Sebanyak RM176,000 telah diperuntukkan Jabatan Pertanian untuk pelaksanaan projek ini yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan petani khususnya peserta yang terlibat melalui bidang pertanian.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota juga memaklumkan Kerajaan Sarawak kini sedang merancang untuk mengubahsuai pelan ekonomi post COVID-19, antara sektor yang menjadi tumpuan adalah sektor pertanian selain daripada sektor digital.

“Saya yakin lebih banyak peruntukan akan diberikan kepada kita dan kita berharap penduduk di Sarawak termasuk juga di Limbang ini bersedia untuk turut sama merancakkan sektor pertanian ini supaya kita dapat mengubah daripada negeri pengimport produk-produk pertanian kepada negeri pengeksport menjelang tahun 2030,” ujarnya.