KUCHING: Tiada kes Covid-19  dicatatkan pada hari ini di Sarawak manakala dua kes sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS), menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Dengan itu,   kes positif  keseluruhan kekal 552 setakat ini sejak virus maut itu dikesan di negeri ini pada 13 Mac lalu. 

Manakala keseluruhan kes positif  Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 501 orang atau 90.76 peratus. 

“Seramai 12 orang di bawah siasatan (PUI) baharu dilaporkan dengan 27 kes masih menunggu ujian makmal,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, daripada 339 sampel yang  diambil di Belawai, Tanjung Manis semalam, 91 daripadanya adalah negatif dan 248 masih menunggu ujian makmal.

Dalam pada itu, seramai 33 pesakit sedang dirawat melibatkan 29 pesakit di HUS, tiga pesakit  di Hospital Sibu dan seorang pesakit di Hospital Bintulu. 

Lima daerah iaitu Samarahan, Tanjung Manis, Bintulu, Serian dan Kuching dikategorikan sebagai zon kuning manakala daerah-daerah lain berstatus hijau.