Katak baik atau katak jahat. Katak bijak atau katak bodoh? Memang dalam politik, terdapat pelbagai jenis katak. Katak tidak layak untuk menilai diri sendiri. Yang dapat menilai ialah rakan-rakan katak yang lain.

Namun, setidak-tidaknya bagi Adun Ba’ Kelalan dia ialah katak baik dan katak bijak.

“Biarlah orang hendak kata apa mengenai saya, tetapi mereka harus faham maksud katak dalam politik.

“Kita terpaksa bertukar parti disebabkan pelbagai faktor, antaranya perubahan yang berlaku dalam parti,” Baru dipetik sebagai berkata.

Sejauh mana label itu diterima, terpulang kepada rakyat untuk mengukurnya kerana sebenarnya Baru tidak layak untuk menilai dirinya.

Yang berhak menilai ialah rakyat, kata pemerhati.

Yang jelas, bekas orang kuat PKR itu telah melompat beberapa kali hingga Presiden PRS, Tan Sri Dr James Masing dipetik sebagai berkata, dia tidak ingat berapa kali Baru sudah melompat.

Katak biasanya melompat untuk mencari kawasan yang lebih baik untuk hidup atau untuk mengelak daripada musuh.

Yang pasti, banyak pihak menyifatkan perbuatan bekas Menteri Kerja Raya dan bekas Pengerusi PKR Sarawak itu sebagai seperti katak. 

Kecuali dia hanyalah katak politik, kalaupun tidak dapat menyaingi Ibrahim Ali.

Dalam sidang media mengumumkan penyertaan dalam PSB hari ini, Baru berkata, matlamat PKR sudah berubah. 

Dahulu, katanya, PKR memperjuangkan nasib rakyat, tetapi tidak lagi demikian.

Sama ada Baru juga masuk dalam kategori yang sama kita kurang pasti. 

Adakah lompatan katak  dilakukan Baru kali ini kerana perjuangan rakyat atau kerana survival politik beliau?

Baru punya alasan tersendiri kenapa dia tidak mahu tubuhkan parti baharu.

Dan mengapa dia menyertai PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh?

Pertama, kerana masa tidak menyebelahinya untuk berbuat demikian. Ya, kerana pilihan raya negeri sudah dekat.

Untuk menubuhkan parti dan memperkenalkan parti  kepada rakyat bukan mudah. Ia perlu masa sebelum rakyat menerimanya. Selain masa, bukan mudah untuk mengatur jentera akar umbi. 

Kedua, kata Baru, jika parti baharu wujud, ini akan menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Sama ada kita hendak percaya kepada penjelasan Baru atau tidak, terpulanglah kepada rakyat dan pengundi untuk menilai kenyataan beliau itu. 

Baru berhak untuk memberi seribu satu alasan mengapa dia keluar PKR. 

Juga dia berhak memberi sejuta alasan mengapa dia menyertai PSB.

Yang pasti, rakyat tidak akan menerima bulat-bulat alasan itu.