KUCHING: Bekas Pemimpin PKR Baru Bian bersama See Chee How mengambil langkah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) adalah disebabkan oleh kekangan masa untuk mendaftar parti baharu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Dua alasan utama adalah masa tidak menyebelahi kami untuk mendaftarkan parti baharu sebelum PRN akan datang dan tidak mahu menimbulkan perpecahan lagi dalam kalangan rakyat Sarawak dengan membentuk parti baharu.

“Kami percaya bahawa parti baharu tidak diperlukan setelah mengetahui bahawa aspirasi PSB sesuai dengan kami seperti yang dinyatakan dalam Visi Harapan saya untuk Sarawak Baru,” kata Baru Bian pada satu sidang media, Sabtu.

Kata Baru lagi, beliau bersama Chee How bersedia untuk berkongsi visi bersama dengan PSB, terutamanya dalam melihat masyarakat berbilang budaya hidup dan bekerjasama dalam semangat penerimaan dan inklusif.

“Kami mahu Sarawak menjadi negeri model di mana setiap individu dilayan sama rata tanpa mengira bangsa dan agama, selain ditadbir kerajaan yang bersih dan bebas rasuah,” ujarnya.