AMSTERDAM: Sebuah Mahkamah di Belanda baru-baru ini mengarahkan seorang nenek memadam foto cucu-cucunya yang dimuat naik dalam akaun Facebook dan Pinterestnya.

Dia dikatakan melakukannya tanpa meminta izin ibu bapa mereka terlebih dahulu.

Kes ini tercetus selepas berlaku perselisihan antara wanita itu dengan anak perempuannya. Hakim memutuskan kes mereka berdua perlu diselesaikan mengikut undang-undang Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR).

Kes ini dibawa ke mahkamah selepas wanita itu enggan memadam foto tersebut selepas anak perempuannya berkali-kali memintanya berbuat demikian.

Biarpun GDPR tidak meliputi isu “peribadi” atau “kes rumah tangga” namun dalam kes dua beranak ini, pengecualian itu tidak berlaku kerana ia membabitkan penyiaran gambar di media sosial yang menjadikannya tontonan ramai dan mudah disalin oleh sesiapa sahaja.

Ekoran itu nenek tersebut mesti memadam foto-foto cucunya atau membayar denda €50 (RM241) pada setiap hari dia gagal berbuat demikian.

Jumlah tersebut boleh meningkat sehingga €1,000 (RM4,822).