Tuesday, June 28, 2022

Anda sayang pemandu mabuk? Atau pemandu mabuk perlu dihukum sekeras-kerasnya?  

Secara Rawak

Berapa orang lagi perlu menjadi mangsa pemandu mabuk di jalan raya?

Dengan Malaysia antara negara merekodkan jumlah kematian tinggi akibat kecelakaan jalan raya, kita tidak dapat membiarkan nyawa terus melayang akibat pemandu cuai dan mabuk. Jalan terbaik perlu dicari untuk menyekat perkara ini daripada terus berlaku.

Contohnya, sebanyak 10,323 kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh enam hari Op Selamat 16/2020, sempena Tahun Baharu Cina Januari lalu.

Secara keseluruhan sebanyak 15,888 kenderaan dicatat dalam jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang Op Selamat 16 yang bermula 18 Januari lalu hingga 24 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dipetik media berkata jumlah kemalangan maut yang direkodkan dalam tempoh Op Selamat 16 itu adalah sebanyak 82 kes.

Setiap nyawa adalah berharga.

Amat tidak wajar untuk melihat nyawa melayang sia-sia dek pemandu mabuk.

Perkara ini perlu dihentikan melalui akta lebih ketat dengan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk.

Memang hak anda untuk minum, tetapi anda tidak punya hak untuk membunuh nyawa orang lain.

Kaki botol tidak harus dibiarkan bermaharajalela sehingga mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain. Kalau anda hendak mati awal, biarkan, tetapi jangan membunuh orang lain.

Gara-gara anda mabuk, anda memandu tanpa sedar sehingga melanggar orang lain. Apa hak anda untuk membunuh orang lain? Kalau anda hendak mabuk sampai berbuih mulut seperti siput babi, biar anda minum di rumah. Tidak mengapa.  Tetapi jangan selepas anda mabuk anda memandu di jalan raya. Ini membawa risiko kepada pengguna jalan raya lain. Ini salah dari segi undang-undang. Anda fahamkah tidak?

Adakah ini adil untuk mangsa dan keluarga yang tersayang?

Atas alasan apa-apa pun, anda tiada hak langsung untuk membunuh orang lain dengan menggunakan kenderaan anda dalam keadaan anda mabuk.

Seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempunyai pendirian tegas dalam hal ini. Ya, tiada tolak ansur kepada pemandu mabuk.

“Pendirian kami amat jelas. Kami tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras.

“Tetapi, selepas minum alkohol, anda tidak ada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain.

“Pemandu mabuk mesti  dihukum seberat-beratnya,” katanya pada suatu kenyataan.

Terbaharu berlaku kejadian seorang lelaki maut di Kuantan, dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada malam 25 Mei lalu.

Sesungguhnya, hukuman penjara sekarang tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun tidak memadai.

Jadi, Seksyen 44 akta berkenaan perlu dipinda dengan mengenakan hukuman penjara lebih lama.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi isyarat kerajaan akan menggubal undang-undang yang lebih ketat berkaitan memandu dalam keadaan mabuk.

“Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri,” jelasnya.

Pindaan ini perlu segera dilakukan dan diluluskan di Parlimen.

Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal.

Nyawa amat berharga dan kita tidak mahu nyawa melayang sia-sia gara-gara pemandu mabuk.

Jadilah manusia yang beretika dan bertanggungjawab. Jangan kerana hendak seronok, nyawa orang lain dalam bahaya dan melayang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru