Beberapa bulan sebelum Kerajaan Pakatan Harapan tumbang, Tun Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjual saham Petronas kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas di Malaysia. 

Usaha ini dilakukan sebagai salah satu usaha untuk mengumpul dana membayar hutang kerajaan yang sedang ditanggung oleh kerajaan persekutuan. 

Berdasarkan laporan audit 2018, Ketua Audit Negara mengesahkan kedudukan keseluruhan hutang awam dan komitmen kewangan kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM1.021 trilion. Daripada jumlah itu, hutang negara bernilai RM741.049 bilion manakala komitmen kewangan lain berjumlah RM280.171 bilion.

Hasil laporan  tersebut kerajaan PH telah mengurangkan dan menghentikan banyak bantuan dan sumbangan kepada rakyat termasuk subsidi, elaun dan perbelanjaan pembangunan. Terdapat juga projek mega yang  telah diluluskan telah dihentikan sementara, dikecilkan skala kerana dianggap membazir dan tidak praktikal.  Hal ini menyebabkan kemarahan rakyat hingga PH tumbang akibat sentimen ini. 

Peluang Sabah dan Sarawak

Satu lagi alasan Dr Mahathir mengusulkan  untuk menjual saham Petronas kepada negeri-negeri pengeluar minyak ialah untuk memberikan peluang kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak kuasa dalam pengurusan Petronas.  Dengan kata lain, kerajaan negeri akan  membeli saham tersebut, dan secara ideal apabila membeli saham dengan besar, maka  ia berkuasa dan mempunyai suara dalam perjalanan pengurusan Petronas.

Kenyataan tersebut akan memberikan semangat besar kepada negeri Sabah dan Sarawak dalam mengawal dan mempunyai kuasa dalam pengurusan Petronas.Selama ini mereka berasa suara mereka terpinggir dalam hala tuju Petronas. Namun, ia tidaklah semudah sebagaimana disangka ramai. 

Hakikatnya ialah Petronas adalah syarikat gergasi yang sangat besar, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak mampu membeli saham dalam syarikat  yang dinilai sebanyak  sekitar RM862 bilion. Syarikat Petronas tersenarai ke 158 terbaik dan  terbesar dunia dalam Fortune 500 Global 2019 yang mempunyai aset dan nilai yang sangat besar untuk dibeli ekuiti mereka.

Kerajaan Persekutuan akan mendapat RM86 bilion jika menjual 10 peratus saham Petronas di pasaran dan sekiranya kerajaan menjual 25 peratus saham petronas maka kerajaan persekutuan akan mendapat RM 215 bilion. 

Untung Rugi Sabah-Sarawak

Rizab simpanan Sarawak berjumlah 30 bilion manakala Sabah hanya ada sekitar RM 6 bilion rezab simpanan Sabah.  Dengan menghabiskan semua rizab simpanan Sabah dan Sarawak sekali pun, tidak akan mampu membeli  walaupun  hanya 5 peratus daripada  nilai jumlah nilai sebenar keseluruhan Petronas.

Dalam kontek negeri Sabah yang mempunyai rizab negeri RM 6 bilion,  dan untuk membeli ekuiti 1 peratus di Petronas akan menyebabkan negeri Sabah muflis kerana terpaksa membayar RM 8.6 bilion.   

Sarawak pula untuk membeli ekuiti 4 peratus memerlukan RM34.4 bilion yang akan menyebabkan kehilangan rezab negeri Sarawak.  Inilah perangkap politik dan perangkap ekonomi yang jarang diperkirakan apabila cadangan penjualan saham kepada kerajaan negeri-negeri pengeluar minyak  seperti Sabah dan Sarawak. 

Ternyata tidak ada suara majoriti pun  dalam lembaga Petronas dengan kurang kemampuan kewangan membeli ekuiti pemilikan yang signifikan. 

Sumber Minyak Sarawak

Hakikatnya perairan Sarawak dan Sabah  yang terletak di Laut China Selatan mempunyai rizab minyak dan gas yang paling besar di Malaysia. Sepatutnya, Petronas di bawah kekuasaan Perdana Menteri boleh mengarah, mengurangkan  kepentingan dan pembabitan Petronas di Sabah dan Sarawak untuk diberikan kepada syarikat milik negeri Sabah dan Sarawak, sekiranya mahu  melihat mengiktiraf kepentingan Sarawak dan Sabah  dalam industri minyak dan gas terbesar di Malaysia sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963. 

Dalam isu penawaran saham di Petronas, ia dianggap sesuatu yang pelik apabila menawarkan saham Petronas kepada negeri yang menjadi pengeluar minyak, sedangkan Sabah dan Sarawak menuntut  hak wilayah atas sumber minyak dan gas dalam sempadan negara sebagaimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

Lebih  baik Sarawak  terus menuntut royalti minyak sebanyak  20 peratus dan bukannya terpesona dengan tawaran untuk membeli saham Petronas. Malaysia merupakan pengeskport bersih  industri gas asli cecair utama dunia.  Namun bagi kalangan yang terdedah kepada aktiviti  tersebut pula lebih menyarankan agar mengurangkan eksport gas asli cecair. 

Sebaliknya meminta agar kerajaan persekutuan memperuntukan gas untuk projek hiliran di Sabah dan Sarawak.  Hal ini  kerana terdapat pandangan bahawa negara maju seperti Jepun dan Korea lebih mendapat manfaat daripada eksport gas cecair asli  Malaysia manakala negeri Sabah dan Sarawak masih  kurang mendapat manfaat. 

Rakyat Sabah dan Sarawak berasa mereka masih ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan elektrik.  Ketika rakyat di kedua-dua negeri berdepan dengan isu sekolah daif, jalan bandar ke kampung yang tidak sama berbanding dengan teman mereka di Semenanjung Malaysia, isu penerokaan minyak di Sabah dan Sarawak  belum lagi selesai.

Projek Mega

Rakyat Sabah dan Sarawak berasa projek mega seperti  Menara Berkembar Petronas, dan jalan setingkat berhawa dingin yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pavillion menggunakan wang hasil daripada duit minyak yang banyak disumbangkan oleh negeri Sabah dan Sarawak. 

Banyak lagi projek mega yang disumbangkan oleh sumber minyak Sabah dan Sarawak yang menyumbang sekitar 60 peratus daripada pengeluaran petroleum negara  atau bernilai  RM38 bilion mengikut tahun 2017.

Sarawak terpaksa akur menerima royalti minyak sebanyak lima peratus sejak 1976 di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang kini banyak menimbulkan ketidakpuasan rakyat Sabah dan Sarawak hingga mencetuskan politik etnonasionalisme yang berjaya memberikan kemenangan besar parti PBB dan komponen mereka pada pilihan raya negeri Sarawak yang lalu. 

Maka, sewajarnya perjuangan untuk memulihkan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 perlu  digerakkan secara lebih menyeluruh  termasuk  Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang melibatkan  perlaksanaan hak-hak ke atas minyak dan gas Sarawak berdasarkan ordinan tersebut.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.