TUN Dr Mahathir Mohamad paling banyak diteliti, ditelaah dan dikaji termasuk pada peringkat Sarjana dan PhD. Pelbagai sudut dianalisis dan dikaji, termasuk ucapan beliau. Saya percaya terdapat ratusan, kalaupun tidak ribuan tesis peringkat PhD dalam pelbagai bidang dibuat pelajar pascasisawzah di dalam dan luar negara mengenai beliau.

Ketika melanjutkan pengajian pada peringkat PhD di Universiti Malaya mulai 2003, saya telah  memilih untuk membuat kajian dalam bidang komunikasi politik.

Tesis saya adalah tentang bagaimana Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan media untuk mengekalkan dan mengukuhkan kuasanya.  

Sekitar tiga setengah tahun saya membaca segala-galanya berkaitan Mahathir. Daripada buku, artikel akademik hinggalah ucapan dan berita tentang beliau, selain menemu bual banyak pihak yang kenal beliau. Anda boleh katakan, saya membaca hampir semua buku tentang Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional itu ketika itu, selain buku tentang kebebasan dan kawalan media yang diamalkan di negara luar. 

Ya, saya boleh katakan, saya ‘mabuk’ dan taasub segala bahan berkaitan Mahathir ketika keghairahan membaca begitu membara bagi memastikan perjuangan mengejar ijazah PhD mencapai kejayaan. 

Betapa tidak, untuk kajian PhD, anda bukan sahaja perlu memahami dan menguasai teori, tetapi juga tentang bahan yang dikaji. Ujian terbesar adalah mengumpul bahan, mentesis dan mentafsir bahan, serta menganalisis, mengolah dan menyimpulkannya dengan jitu bersandarkan teori tertentu. 

Saya terpaksa menggeledah segala bahan di perpustakaan dan meneliti dan menguasai segala akta dan undang-undang berkaitan dengan media, sebahagiannya diperkenalkan  dan dipinda oleh beliau, dengan satu tujuan: Untuk mengekalkan dan mengukuhkan kuasanya.

Saya memilih tajuk itu, kerana saya bukan sahaja begitu berminat terhadap bidang media, komunikasi dan politik, tetapi juga bagaimana seorang pemimpin politik walau berdepan seribu satu cabaran getir, masih dapat bertahan.  Tentu ada sesuatu rahsia yang menyebabkan Mahathir kekal berkuasa sehingga akhirnya berada di kerusi berkenaan selama 22 tahun. 

Saya juga pernah menemu bual Mahathir untuk program RTM yang disiarkan pada 16 September 2011 bersama-sama Ketua Pengarang Bernama Datuk Yoo Soo Heong dan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan.  

Berdasarkan pengamatan saya, daripada soalan yang kami kemukakan, saya dapat katakan, ketika itu beliau masih lagi memiliki ketajaman, dengan unsur sinis dan wit yang ketara. 

Saya telah mengajukan soalan tentang hak Sarawak dan royalti minyak. Jika ada peluang, saya berminat untuk mewawancara Mahathir secara langsung di satu saluran televisyen dengan soalan-soalan yang lebih sukar dan kontroversi. Ketika itu Mahathir menjawab royalti perlu dikongsi dengan negeri miskin dan kurang maju di negara ini dan Sarawak tidak boleh menuntut  royalti terlalu tinggi.

Sebagai penganalisis politik, saya sentiasa mengikuti  dan mengamati segala perkembangan dan kenyataan Mahathir. Ini bukan bermakna saya pengagum beliau. Malah, anda boleh katakan saya agak kerap mengkritik Mahathir atas tindak-tanduk, dasar dan kenyataan beliau yang saya fikir tidak wajar. 

Mahathir tokoh yang berwibawa setidak-tidaknya sehingga beliau berundur pada 2003 sebagai Perdana Menteri keempat. Bagi saya, Mahathir bukan Mahathir yang kita kenal ketika beliau menerajui negara di bawah Kerajaan PH selama 22 bulan. 

Beliau memilih untuk meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang. Kejadian itu ialah bikinannya sendiri.

Mahathir sudah hilang sentuhan keemasan pada usia 93  atau 94 tahun.

Mahathir tokoh yang bukan sahaja penuh ironi, tetapi juga penuh kontroversi. Ada pihak yang menyatakan tindak-taduk dan pemikiran Mahathir sukar dibaca. Mahathir penuh teka-teki dalam percaturan politik. 

Sepanjang perjalanan politiknya, beliau mengambil tindakan yang mencetuskan kontroversi, termasuk ketika menulis surat meminta Tunku Abdul Rahman berundur sebagai Perdana Menteri selepas tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. 

Bagi anda yang meminati politik, tentu pernah membaca  karya klasik Machiavelli bertajuk The Prince.   Niccolo Machiavelli (1469-1527), sejarawan, ahli falsafah dan pengasas utama sains politik moden itu terkenal dengan prinsip, tujuan menghalalkan cara.  

Melalui karya berkenaan,  beliau menghujahkan bahawa seseorang penguasa baharu harus menstabilkan kuasanya agar struktur politik kelilingnya kukuh. 

Karya berkenaan juga menekankan perlunya sedikit kekerasan demi melindungi keutuhan kedudukan pemerintah daripada sebarang unsur atau saingan yang mencabarnya, yakni menghalalkan cara melalui matlamat yang ingin dicapai. 

Katanya, penguasa lebih baik digeruni daripada disanjung tinggi, kerana pemerintah yang disayangi itu mengekalkan kuasanya melalui rasa tanggungjawab manakala pemerintah yang digeruni melakukan perkara yang sama dengan menimbulkan rasa takut terhadap hukuman salah laku. Adakah Mahathir lebih disayangi atau lebih digeruni ketika memerintah? 

Selama tempoh 22 tahun jadi Perdana Menteri, beliau lebih banyak digeruni kerana kuasa yang ada padanya. Beliau berjaya memodenkan dan membawa pembangunan pesat, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi. 

Beliau disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai diktator. Namun, tidak demikian ketika beliau menjadi Perdana Menteri ketika menerajui PH disebabkan komposisi parti dan landskap politik yang sudah jauh berubah —  beliau tidak lagi dapat menggunakan cara kuku besi seperti sebelumnya.  Pada 2019, majalah Time menyenaraikan beliau sebagai antara seratus tokoh paling berpengaruh di dunia.

 Untuk berkuasa, pemimpin perlu pintar, sepintar musang. Untuk kekal berkuasa, pemimpin politik juga perlu berani,  seberani singa. Ya, Mahathir memiliki kedua-duanya.  Namun harus diingat walaupun singa kuat, binatang itu  mudah  masuk perangkap.  Sebaliknya meskipun musang tidak dapat melawan singa dari segi keberanian, namun ia bijak melepas diri daripada perangkap. 

Mahathir menggunakan kuasa dan undang-undang untuk mencengkam kuasanya, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap kejam.

Beliau banyak menggunakan, mengawal, malah mencekam media. Tidak hairanlah penarafan kebebasan akhbar Malaysia ketika beliau berundur  sebagai Perdana Menteri pada 2002 adalah pada tangga 104 daripada sekitar 180 negara yang diukur.

 ISA dihapuskan pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak. Pada 1987, krisis berlaku dalam Umno ketika Mahathir berjuang untuk mempertahankan jawatan Presiden. Beliau hanya menang dengan 43 undi, hampir tewas ditentang Tengku Razaleigh Hamzah. Kesudahannya, Umno yang diterajuinya diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah, maka muncullah Umno Baharu.

Pada tahun berkenaan, beliau melancarkan ‘Operasi Lalang’ yang menyaksikan 106 orang dijaring di bawah ISA, manakala permit tiga  buah akhbar digantung. Beliau meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memberi kuasa mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk melulus, menggantung atau menarik balik permit penerbitan.

Hakikatnya,  tiada siapa yang betul di mata Mahathir, dari Tunku Abdul Rahman, Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib Razak, dan kini Tan Sri Muhyuddin Yassin. Semuanya menjadi mangsa politik Mahathir. Persoalannya, ada apa dengan Mahathir? Adakah betul hanya Mahathir yang betul?  Ingat, Mahathir bukan malaikat, jadi bukan semua yang beliau katakan dan lakukan betul. 

Malah, sebenarnya sebagai manusia biasa, beliau banyak melakukan kesilapan ketika memerintah hingga banyak dikritik oleh pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Anwar Ibrahim.

Musa dan Anwar tumbang sebagai Timbalan Perdana Menteri, begitu juga Abdullah dan Najib tumbang sebagai Perdana Menteri. Anwar yang dijanjikan untuk menggantikan beliau sebelum pilihan raya umum 2018, akhirnya hanya berputih mata.  

Beliau bagai tidak berasa malu, sanggup melupai sengketa lama dan berjumpa dengan musuh politik hampir 20 tahun hanya kerana mahu kembali berkuasa. Inilah yang dinamakan tujuan menghalalkan cara. Lebih Machiavelli daripada Machiavelli. 

Ketika hendak berkuasa, beliau sanggup berjumpa dengan Anwar di mahkamah.  Anwar masuk ke dalam perangkap Mahathir. 

Dari sisi itu, bukankah Mahathir serang pemimpin yang hebat?  

Kini Mahathir tidak lagi berkuasa, tetapi percayalah, beliau tidak akan berdiam diri. Buktinya, beliau  akan terus mahu menggugat kedudukan  Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, apatah lagi sebelum ini beliau pernah menyatakan dikhianati Ahli Parlimen Pagoh itu. Apatah lagi, kini Muyhiddin dilihat bertanggungjawab atas kejatuhan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah. 

Maksudnya, beliau akan sentiasa mengekori dan membayangi jejak Muhyuddin, dan untuk itu Perdana Menteri, tidak boleh buat kesilapan dan masuk perangkap Mahathir. Dendam kesumat Mahathir tidak akan reda, sebaliknya akan terus membara selagi matlamatnya belum tercapai. Ya, kini Mahathir dapatlah dianggap sebagai musuh dalam selimut bagi Bersatu.  Beliau ialah duri dalam daging bagi PN.

Meskipun usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebelum ini tidak menjadi disebabkan persidangan Parlimen hanya sehari, jangan fikir ‘singa’ dan ‘musang’ dalam diri Mahathir akan tidur. Sebaliknya, kedua-dua unsur berkenaan dalam dirinya akan saling mencari kesempatan untuk bertindak. 

Kini, Mahathir diisytiharkan sebagai bukan lagi Pengerusi Bersatu. Adakah kedudukan Muhyuddin terjamin kukuh dengan tiadanya Mahathir dalam Bersatu yang sudah berpecah dua itu?  

Mengenali  ‘singa’ dalam tubuh Mahathir, beliau dapat dikatakan  api dalam sekam dalam Bersatu. Mahathir adalah bagai singa luka yang akan  terus menerkam Muhyiddin. Beliau akan menggunakan isu keabsahan politik Kerajaan PN di bawah pimpinan Presiden Bersatu itu.

Percayalah, Mahathir pasti akan terus melancarkan serangan dan melakukan percaturan politik bagi melemahkan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.  

Namun, kali ini Mahathir berdepan dua musuh ketat politik yang tidak mahu beliau kembali berkuasa, iaitu Muhyiddin dan Najib.  Malah, tentu Abdullah juga tidak akan mahu menyokong Mahathir.

Tidak mudah bagi Mahathir kali ini, kerana yang pasti anggota PH — PKR, DAP dan Amanah — tidak akan mahu jatuh ke dalam lubang yang sama. 

Mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali, kerana mereka sudah tentu tidak mahu dipermain, diperalat dan dieksploitasikan oleh Mahathir sekali lagi. Lagipun, kali ini, rakyat sudah muak dengan sandiwara dan permainan politik beliau. Bagi majoriti rakyat, cukuplah Mahathir.