BAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta ketika cuba memotong kenderaan di Kilometer 13 Jalan Bau/ Batu Kawa (Tondong) kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Kemalangan berlaku apabila mangsa, Dauglas Bangga Nair, 24, dari Rumah Bama Nanga Risau Awik, Saratok dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Bau.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan telah hilang kawalan.

Akibat itu, katanya motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa lalu bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki, Eric Watts Goson, 27, dari Kampung Sudoh, Singai.

“Akibat kemalangan ini pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh paramedik ambulans Hospital Bau di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.