KUALA LUMPUR: Jangan sia-siakan pengorbanan petugas yang berada di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus tidak mengira waktu termasuk bertugas pada hari perayaan.

Itu  nasihat Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada rakyat yang meraikan Hari Raya Aidilfitri pada hari ini.

Kerajaan telah menasihati rakyat supaya meraikan sambutan Syawal untuk sehari sahaja dalam kalangan keluarga.

Beliau berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi tatacara pengendalian standard (SOP) ketika menyambut 1 Syawal esok amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Katanya, Aidilfitri tahun ini perlu disambut secara sederhana bersama keluarga terdekat sahaja dan aktiviti ziarah-menziarahi keluarga lain dan rakan-rakan perlu ditangguhkan. 

“Ingat, sambutan Hari Raya dihadkan kepada 20 orang sahaja sehari. Had ini tertakluk kepada saiz kediaman masing-masing. Pastikan jarakan sosial dan kebersihan diri sentiasa diamalkan,” kata Ismail Sabri lagi.

Beliau berkata demikian  pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas  menteri-menteri berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di Perdana Putra di sini, Sabtu.

Beliau  turut mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti riadah secara berkumpulan tidak dibenarkan dan polis akan membuat rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan suasana sambutan Aidilfitri adalah terkawal.