KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam normal baharu tahun ini masih boleh diraikan dengan meriah, kata Perdana Menteri.

 Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun tanpa amalan ziarah dan saling mengunjungi seperti kebiasaannya, suasana meriah dan kegembiraan masih dapat diwujudkan dalam kalangan ahli keluarga.

“Saya sarankan, adakan perbincangan antara adik beradik dan sanak saudara, siapa yang boleh datang menziarah. Pastikan juga sesama ahli keluarga sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, elakkan bersalam dan bersentuhan,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan malam tadi.

“Jaga ibu bapa, datuk dan nenek, kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan. Tak mengapa tahun ini kita tidak dapat peluk cium mereka.

“Bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana sayanglah kita perlu elak bersentuhan dengan mereka,” katanya.

Beliau juga berharap mereka yang diberi kelonggaran untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid agar sentiasa mematuhi garis panduan yang telah diberikan.

“Kalau sebelum ini, imam akan cakap rapatkan saf sebelum memulakan solat, tetapi kali ini imam perlu kata renggangkan saf kerana dalam situasi sekarang, itu lebih afdal,” katanya.