KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru umat Islam supaya sabar menerima ketetapan sambutan Aidilfitri dalam normal baharu dengan hati yang terbuka.

“Biarpun Syawal kali ini jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini ekoran penularan Covid-19, namun setidak-tidaknya kita masih boleh menikmati dan berkesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, dalam suasana aman dan selamat.

“Segala puji bagi Allah SWT, yang mengizinkan kita bertemu Syawal tahun ini. Satu lagi bulan yang amat mulia dan penuh barakah. Biarpun ia hadir ketika negara dan dunia dilanda krisis #COVID19, sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sabar dan redha dengan ketetapan-Nya. Perayaan Aidilfitri juga mesti kita raikan dengan rasa syukur dan gembira,” katanya  dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya faham ramai yang bersedih kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa, namun saya harap kita dapat bersabar menerima ketetapan ini dengan hati terbuka.

“Tetapi pada masa yang sama tidak bermakna kita tidak boleh eratkan ukhwah dan silaturrahim sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, tetapi menggunakan pendekatan normal baharu dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah di rumah, dan membuat panggilan video bersama ahli keluarga dan sahabat di rumah,” katanya.

“Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di rumah; bertanya khabar dan bermaafan melalui perbualan telefon atau video call; berkongsi gambar raya di group whatsapp – kesemua pendekatan new normal ini saya percaya tetap memberi nilai dan makna tersendiri serta dapat memeriahkan suasana lebaran tahun ini. Insya-Allah,’ katanya. 

Beliau bagi pihak Isteri dan seluruh ahli keluarga  mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!