KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada rakyat Malaysia beragama Islam di seluruh negara dan di perantauan.

Kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bersempena meraikan kemenangan berpuasa pada bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. 

“Selama sebulan ditarbiah roh, jasad dan akal supaya tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.

 “Ibadat puasa yang mendidik umat Islam untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah bukan sekadar mengejar pahala berganda sahaja, menanam sifat integriti dengan merasai diri dipantau oleh Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mendengar serta membina sahsiah diri melalui amal ibadat dan hubungan sesama manusia berkonsepkan berkebajikan dan persaudaraan sesama Islam dan manusia,” katanya.

Katanya, al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan ialah hidayah petunjuk kepada umat akhir zaman. 

“Disuruhnya umat Islam untuk bersatu padu atas semangat persaudaraan Islam dengan melakukan islah dan mendamaikan antara dua pihak yang bertelingkah dan bertelagah,” kata beliau.

 “Seterusnya bermuamalat dan membentuk perpaduan sesama manusia dalam keluarga yang besar berkonsepkan taaruf antara kaum dan bangsa yang berbeza dan saling menolong dalam hidup bermasyarakat madani,” ujarnya.

 “Marilah umat Islam kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah, perkukuhkan perpaduan umat Islam dan tegakkan Islam yang memimpin masyarakat majmuk dengan konsep adil untuk semua. Tunaikan tanggungjawab kita bersama-sama Islam,” ujarnya lagi.