KUALA LUMPUR: Rakyat hendaklah bergembira dan bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan dan kekuatan untuk menyambut kedatangan 1 Syawal dengan keluarga tercinta dan insan yang disayangi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama hampir dua bulan telah mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan yang tinggi di samping penuh sabar sepanjang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda mengajak rakyat untuk tidak berasa gusar, dan sedih kerana tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti kelazimannya pada tahun ini.

“Rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama hampir dua bulan telah mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan yang tinggi di samping penuh sabar sepanjang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan bahawa banyak pengajaran yang dapat dipelajari dalam menghadapi wabak Covid-19.

“Kita mempelajari bahawa sesuatu virus atau sakit dapat menyerang manusia dengan tanpa mengira pangkat mahupun darjat,” titah baginda sempena perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung melalui semua saluran televisyen pada malam Sabtu..

“Kita juga harus insaf bahawa kesihatan yang dikurniakan Allah SWT adalah sesuatu kurniaan yang tidak ternilai harganya.

“Wabak Covid-19 ini turut mengajar kita bahawa setiap manusia mempunyai ikatan pertalian hubungan yang rapat antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” titah baginda.