KUCHING: Ketua Menteri berharap input yang diterima daripada  Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak dapat menjadi landasan kukuh bagi memulihara dan memperkasa ekonomi Sarawak secara jangka panjang. 

Majlis itu  ditubuhkan untuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. 

Justeru  Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg berharap input yang diterima nanti akan diperhalusi oleh Kerajaan Negeri 

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam esok selepas sebulan menjalani puasa pada bulan Ramadan.

Jelas beliau, program pasca-Covid-19 Sarawak  berpaksikan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar  akan memberi tumpuan kepada sembilan sektor.

Kata Ketua Menteri lagi,   sektor berkenaan ialah  pertanian komersial, pengeluaran, perlombongan, perhutanan, pelancongan, infrastruktur asas, perkhidmatan, pusat data dan inovasi serta tenaga yang dapat diperbaharui. 

Abang Johari mengajak seluruh anak Sarawak tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan fahaman politik untuk sama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. 

Katanya,  tiada yang lebih indah melainkan kebahagian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri Sarawak untuk dinikmati  semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.