KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata  semoga Ramadan yang berlalu ialah Ramadan yang terbaik buat kita dan semoga Allah mempertemukan kita dengan Ramadan yang akan datang.

“Marilah kita menyambut 1 Syawal ini dengan semangat sebenar Aidilfitri, iaitu dengan kembali kepada fitrah. Memuji dan mengangkat kebesaran Allah, menginsafi betapa fananya kita sambil saling bermaafan dan menerima segala kelemahan dan kebaikan orang lain sejujur dan seadanya,” katanya. 

“Tiada kesalahan yang terlalu kecil untuk dibiarkan tanpa maaf dan tiada kesilapan yang terlalu besar sehingga tidak layak diberikan kemaafan,” katanya lagi.

“Tahun ini, sambutlah Aidilfitri dengan hanya bersama keluarga kita, tanpa ziarah menziarahi dan keraian seperti lazimnya. Kita masih lagi dalam kemaslahatan akibat wabak dan semoga kita redha dengan ketentuan ini,”katanya dalam hantaran di Facebbooknya, hari ini.

“ Manfaatlah ruang waktu dengan bertakbir dan bertahmid dan panjangkanlah silaturrahim dengan saudara-mara serta sahabat handai melalui panggilan video …Insyallah,” katanya lagi.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berserta keluarga, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan terimalah permohonan maaf setulusnya atas segala silap dan salah kami.

“Akhir sekali, kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sangatlah dituntut. Kita mesti menangguhkan segala perjalanan dan kunjung-mengunjung demi kemenangan yang lebih besar dalam membasmi wabak Covid-19 in,” ujarnya.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin,” ujarnya.