MIRI: Syarikat Borneo Telecom (Pengedar Lensun Malaysia) telah menyediakan Peralatan Perlindungan Perubatan kepada petugas di Hospital Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin melahirkan rasa gembira di atas sokongan yang diberikan syarikat swasta itu kepada Kerajaan Sarawak dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.

“Beliau menzahirkan kegembiraan dan rasa bersyukur kerana Syarikat Lensun International, Guangzhou telah memberikan sokongan kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak khususnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri untuk bersama-sama memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Peralatan Perlindungan Perubatan kepada Hospital Miri di Bangunan Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.

Antara sumbangan peralatan perlindungan perubatan yang diserahkan ialah Disposal Medical Mask sebanyak 2,000 unit, Disposable Medical Vinyl Examination Gloves sebanyak 1,000 unit, Virus Protective Clothing Coverall Disposable Protective Suit sebanyak 20 set dan Alcohol Pad sebanyak 9,000 unit.

Beliau yang juga merupakan Menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang terus komited dalam meneruskan tugasan membanteras wabak pandemik COVID-19 sehingga ke hari ini.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan hadapan, agensi berkaitan dan komuniti Miri pada keseluruhannya yang berusaha bersungguh sungguh dan sehati untuk membenteras pendamik COVID-19 sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan sehingga hari ini,” ujarnya.

Walaupun Miri sudah menjadi zon Hijau sejak 9 Mei lalu, warga Miri perlu terus bekerjasama erat dan behati-hati supaya mengekalkan status bebas daripada COVID-19.

Sehubungan itu, warga Miri diminta agar terus berwaspada dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPBNS untuk memutuskan rantaian COVID-19.