RAMADAN sudahpun melabuh tirainya pada hari ini yang merupakan hari ke-30 . Esok Syawal akan tiba menandakan Adilfitri datang lagi untuk disambut penuh mesra oleh seluruh umat Islam sebagai meraikan kemenangan selepas melalui sebulan berpuasa.

Pastinya ramai yang sudah terbayang-bayang akan sajian tradisi seperti kelupis, lemang, ketupat,rendang dan kari daging yang enak. Tidak kurang ramai yang sudah mula terhidu aroma kek pelbagai nama dengan pelbagai warna.

Ditambah lagi dengan suasana meriah berkumpul bersama keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan yang sudah lama tidak bersua muka.Memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata saat-saat sedemikian.

Menyorot semula perjalanan Ramadan tahun ini yang turut diberi jolokan sebagai ‘Ramadan Perjuangan’ pastinya ia akan jadi lebih manis dan indah jika kehadiran Aidilfitri tahun ini berjaya diraikan secara serampang dua mata yakni bersempena dengan kejayaan tamat sebulan berpuasa dan juga sempena kemenangan melawan Pandemik Covid-19.

Hari Raya memang mengundang pelbagai rasa sama ada bagi yang beraya di kampung halaman,di bandar mahupun bagi yang beraya jauh di perantauan.

Bagi yang beraya di kampung ada beberapa sebab mereka beraya di kampung. Antaranya kerana mereka memang tinggal di situ ataupun itu memang kampung dia.

Kedua kerana sempat balik sebelum adanya sekatan untuk beraya di kampung. Ketiga,kerana tersangkut akibat PKPB dan yang keempat ‘mungkin’ ikut giliran atau kerana sifat mengalah yang tinggi. Kenyataan ini saya tak nak ulas panjang sebab kadang-kala jadi isu sensitif. Maaf jika ada yang terasa.Tapi kenyataan ini ramai yang hadapinya.

Pada situasi apapun anda berada sekarang,segalanya anda kena hadam baik-baik dan telan saja walaupun pahit bagaimana sekalipun.Insya Allah yang pahit itu biasanya ubat dan setidak-tidaknya mengubat sedikit ego setinggi gunung anda selama ini. Tak ada orang lain yang boleh tumpaskan ego anda melainkan anda sendiri.

Apa yang saya tulis kali ini adalah untuk semua yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kira walau di mana anda berada.

Yang beraya di kampung tahun ini, untuk lebih jelas tahun 2020 mereka juga merasakan sesuatu kekurangan seperti juga anda yang beraya di perantauan jauh dari keluarga.

Tak biasa, janggal, sememangnya tahun 2020 perkenalkan kita dengan seribu satu macam kejanggalan. Maka wujudlah istilah Norma Baru untuk kita praktikkan.

Covid-19 mengubah skrip dan plot drama sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Tiada solat sunat Aidilfitri seperti kelazimannya.

Malah kunjung-mengunjungpun tidak benarkan hanya beraya dalam kelompok keluarga kita sahaja.

Luar biasa namun itulah antara catatan sejarah dalam hidup kita dan menandakan kita dapat satu pengalaman sangat berharga yang mana perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.Apa yang kita alami bakal kita ceritakan kepada
generasi yang akan datang.

Lantaran itu juga tidak ada sebab untuk anda berasa kurang senang atau kecewa dengan keadaan sekarang. Sebab apa yang berlaku bukan hanya dialami anda seorang sahaja tetapi oleh semua. Jadi teruskan Hari Raya anda dengan Aidilfitri Norma Baharu dalam berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sama ada anda beraya di kampung atau di bandar atau di perantauan.

Apa yang pasti Hari Raya tetap ada pada tahun hadapan.

Namun, jika kita mengabaikan peringatan kerajaan untuk jaga diri dari Wabak Covid-19, Hari Raya tahun depan mungkin bukan untuk anda yang bersikap ambil mudah terhadap arahan kerajaan untuk menjaga diri dari Covid-19.

Berfikiran positiflah dalam sambutan Hari Raya pada tahun ini. usah dibiarkan keluhan dan kekecewaan mewarnai sambutan hari bermakna ini.Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin daripada kami di Sarawak Voice.