KUCHING: Program pasca Covid-19 Sarawak  berpaksikan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar  akan memberi tumpuan kepada sembilan sektor, kata Ketua Menteri.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  sektor berkenaan ialah  pertanian komersial, pengeluaran, perlombongan, perhutanan, pelancongan, infrastruktur asas, perkhidmatan, pusat data dan inovasi serta tenaga yang dapat diperbaharui. 

Jelas beliau, sebuah jawatankuasa yang dinamakan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak juga telah ditubuhkan untuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. 

Justeru Abang Johari berharap input-input yang diterima nanti yang akan diperhalusi oleh Kerajaan Negeri bakal menjadi landasan kukuh bagi memulihara dan memperkasa ekonomi Sarawak secara jangka panjang. 

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam esok selepas sebulan menjalani puasa pada bulan Ramadan.

Abang Johari mengajak seluruh anak Sarawak tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan fahaman politik untuk sama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. 

Katanya,  tiada yang lebih indah melainkan kebahagian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri Sarawak untuk dinikmati  semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.