PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau pada Khamis, 21 Mei 2020 telah disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri bagaimanapun telah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi Jumaat dan disahkan negatif.

“Walau bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), YAB Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang semalami.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini,” seperti dipetik kenyataan tersebut.

Untuk makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa.